Projek naiktaraf jalan lonjak sosioekonomi Kampung Buda






BETONG: Projek menaiktaraf Jalan Buda kepada jalan berturap sepenuhnya pada tahun ini akan melonjakkan pembangunan sosioekonomi rakyat di kawasan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Mohammad Razi Sitam berkata, projek rakyat itu diluluskan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg tahun lepas dengan jumlah RM5.5 juta dan tambahan RM500 ribu.

Beliau berkata, projek itu dikendalikan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Betong.

“Pembinaan jalan tersebut merangkumi kerja-kerja menaiktaraf jalan di dalam kampung yang sebelum ini menggunakan jeti belian, jalan kebun sehingga kawasan Sekolah Kebangsaan Buda.”

“Projek ini akan memudahkan penduduk kampung mengembangkan aktiviti pertanian yang merupakan pekerjaan utama di sini,” katanya kepada Gago Daily selepas meninjau perlaksanaan projek itu hari ini.

Beliau menambah, kelulusan projek oleh Abang Johari ini merupakan berita gembira kepada penduduk kampung yang kini sudah menikmati sepenuhnya kemudahan jalan raya, bekalan air bersih dan elektrik 24 jam.

“Secara peribadi saya mngucapkn berbanyak terima kasih kepada ketua menteri kita yang sangat peka dan mengambil berat keperluan kemudahan di kawasan luar bandar.”

“Ini adalah komitmen yang tinggi di kalangan pemimpin kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) diterajui oleh Abang Johari. Semoga penduduk kampung memanfaatkan sepenuhnya kmudahan yg disediakan kerajaan untuk pembangunan kawasan luar bandar,” ujarnya.

Beliau turut meninjau projek Transformasi Luar Bandar (RTP) naiktaraf Dewan SK Bungin, Spaoh yang sudah siap dengan kos kira-kira RM200 ribu.

Dewan yang uzur sebelum ini telah dinaiktaraf dan dibina semula dengan lebih baik dan selesa untuk kegunaan sekolah.

Turut hadir Jurutera Bahagian JKR Betong Chiresly Francis Kureng dan Timbalan Pengurus Wilayah CMS Abdul Rahman Noor.


LihatTutupKomentar