Pusat hiburan di Batu Kawa diserbu
KUCHING:Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak menyerbu sebuah pusat hiburan di Jalan Batu Kawa, Bandar Baru Batu Kawa, di sini, malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak, Asisten Komisioner Jasmirol Jamaluddin berkata, dalam serbuan jam 11.30 malam itu, seramai 13 lelaki dan tujuh wanita berusia antara 30 hingga 56 termasuk tukang urut warganegara China berjaya ditangkap.
Menurutnya, kesemua suspek mengaku datang ke pusat hiburan itu untuk berhibur.
"Hasil pemeriksaan di bilik pertama digunakan lapan suspek iaitu lima lelaki dan tiga wanita warganegara China yang ditahan, polis menjumpai satu peket plastik lut sinar berisi serbuk warna putih disyaki dadah jenis ketamin dengan berat dianggarkan 0.81 gram.
"Pemeriksaan bilik kedua yang mana 12 suspek iaitu lapan lelaki dan empat wanita ditahan menjumpai satu peket plastik lut sinar berisi serbuk warna putih disyaki dadah jenis ketamin dengan berat dianggarkan 0.28 gram dan satu gelas kaca yang berisi cecair disyaki campuran dadah (anggaran tujuh mililiter),"katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, pemeriksaan badan seorang suspek wanita warganegara China berusia 52 tahun menjumpai satu peket plastik lut sinar berisi serbuk warna putih disyaki dadah jenis ketamin dengan berat kasar 0.63 gram.
"Mereka mendapat bekalan dadah daripada salah seorang suspek yang juga membelinya secara 'bank-in'.
"Setelah bank-in duit, pembekal akan membuang bekalan mengikut lokasi yang telah ditetapkannya,"katanya.
Beliau berkata, hasil ujian saringan awal air kencing yang dijalankan ke atas kesemua suspek mendapati 15 orang iaitu 11 lelaki dan empat wanita didapati positif dadah.
"Kesemua suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Siburan untuk tindakan selanjutnya.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 15(1) (a) ADB 1952 dan Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020,"katanya.