Roland Enggan selar tindakan PSB
KUCHING: Parti Keadilan Cabang Baram kekal teguh dan sedang dalam proses persiapan pilihan raya negeri Sarawak atau pilihan raya umum Malaysia, jika diadakan serentak.
Ketua Cabang KEADILAN Baram merangkap Naib Pengerusi KEADILAN Sarawak Roland Engan berkata, sehubungan itu, beliau mengingatkan pihak yang ingin mempromosi parti masing-masing, harus mempromosi secara teratur dan tertib dengan menyampaikan maklumat yang tepat untuk mengelakkan kekeliruan.
"Saya ditanya untuk pengesahan dari beberapa penduduk Penan di Ulu Baram samada saya minta ahli KEADILAN mengisi Borang Keahlian PSB & Borang Ranting PSB.
"Ini adalah kerana mereka diberitahu bahawa borang-borang itu dikatakan diedarkan oleh saya.
"Kekeliruan ini berjaya ditangani apabila saya menjelaskan bahawa PSB bukanlah parti KEADILAN," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau menegaskan, perjuangan KEADILAN Sarawak kekal diteruskan di bawah pasukan pimpinan berbilang kaum yang baharu.
Menurutnya, kepentingan semua kaum dibela dan agenda mewujudkan masyarakat yang adil, demokratik, progresif, bersatu & beramanah tetap diteruskan.
"Kita akui ada rakan-rakan lama kita telah menyertai parti PSB atas alasan yang diketahui sendiri oleh mereka.
"Walaupun demikian, janganlah mudah keliru dengan halatuju perjuangan KEADILAN.
"Akhir sekali, marilah kita bersama meneruskan perjuangan yang belum selesai ini," katanya.
Roland telah dilantik Naib Pengerusi KEADILAN Sarawak & Ketua Biro Reformasi Institusi & Urus Tadbir Kerajaan.
Manakala Saudara Harrison Ngau pula dilantik sebagai Ahli Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Sarawak & Ketua Biro Tanah & Alam Sekitar serta Penyelaras Sekretariat Jawatankuasa Pilihanraya Negeri Sarawak.