Sarawak buka pintu kepada pelancong?

KUCHING, 22 Jun: Sarawak mensasarkan ketibaan seramai dua juta pelancong sahaja sepanjang tahun ini berikutan COVID-19.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata demikian dan mengakui sasaran tahun ini jauh berkurangan berbanding sasaran seramai lima juta pelancong tahun lepas.

"Sasaran kita tahun lepas seramai lima juta pelancong, tahun ini sudah tentu kita tidak boleh mengharapkan seramai lima juta pelancong lagi, malahan saya amat gembira sekiranya kita mendapat seramai dua juta pelancong sahaja,"katanya pada sidang media selepas mengadakan sesi dialog dengan industri pelancongan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini. 

Abdul Karim berkata ini berikutan ketibaan pelancong ke negeri ini jauh menurun sejak bermulanya langkah pencegahan COVID-19 tiga bulan lepas walaupun permulaan baik Sarawak pada Januari tahun ini dengan peningkatan pelancong sehingga 17 peratus berbanding Januari 2019.

"Tetapi akibat bermulanya wabak COVID-19 pada Febuari dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac maka dari Januari hingga Mei lepas ketibaan pelancong menurun sehingga 48.9 peratus berbanding tempoh itu tahun lepas,"katanya.

Abdul Karim berkata Sarawak juga dianggarkan kerugian hampir RM3 bilion sejak tiga bulan lepas akibat menurunnya ketibaan pelancong dan sekiranya keadaan COVID-19 bertambah baik selepas ini pihak beliau akan menfokuskan kepada ketibaan pelancong domestik.

"Ini kerana kita tidak menjangkakan Sarawak akan menerima ramai pelancong asing bagi tempoh enam bulan akan datang,"katanya dan menjelaskan ini disebabkan penutupan sempadan dan juga keperluan kuarantin selama 14 hari.

Selain itu, sekiranya keadaan wabak COVID-19 bertambah baik, pihaknya mungkin mensasarkan pelancong dari Brunei dan Singapura serta Indonesia yang sebelum ini ramai mengunjungi negeri ini.

Beliau berkata ini terutamanya pelancong dari Indonesia yang mengunjungi negeri ini bagi mendapatkan rawatan perubatan sekitar bandar raya ini yang ada banyak hospital swasta dan ketika ini turut terjejas akibat COVID-19.

LihatTutupKomentar
Cancel