Sarawak siap sedia pemulihan ekonomi
KUCHING: Sarawak bersiap sedia dalam pelaksanaan perancangan pemulihan ekonomi untuk jangka masa pendek dan panjang.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, sehubungan itu pelaksanaan projek infrastruktur yang terhenti akibat penularan COVID-19 akan diteruskan terutama melibatkan pembinaan jalan raya, jambatan, utiliti, bekalan air dan elektrik.
Menurutnya, projek jangka pendek akan diteruskan termasuk projek Lebuhraya Pan Boneo sebagai usaha untuk merancakkan ekonomi negeri.
"Bagi projek jangka panjang, kita harus melihat semula semula projek untuk masa depan sesuai dengan sasaran untuk muncul sebagai sebuah negara maju menjelang 2030," katanya.
Abang Johari berkata, rakyat Sarawak harus cepat menyesuaikan diri untuk terus bangkit ketika negara dalam pemulihan penularan COVID-19.
Menurutnya, rakyat harus bersama-sama kerajaan dalam pemulihan ekonomi yag terjejas seperti pelancongan diikuti sektor perkilangan dan perkhidmatan kerana tidak ada kegiatan selama tiga bulan terakhir kerana Perintah Kawalan Pergerakan (MCO).
Katanya, Kerajaan Sarawak telah menyuntik pakej rangsangan bernilai sekitar RM2.3 bilion di bawah Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) untuk melengkapkan Inisiatif kerajaan persekutuan dalam menangani krisis COVID-19.
"Pakej ini untuk semua lapisan masyarakat seperti yang bekerja sendiri, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perkhidmatan," tambahnya.
Mengenai sektor pertanian Abang Johari berkata, dia yakin masa depan Sarawak Sangat cerah.
Katanya, permintaan dan pasaran untuk pengeluaran makanan adalah sangat tinggi selain pengguna turut mahu penetapan harga-harga bagi produk makanan pada kadar yang berpatutan.
“Saya sangat yakin, bahawa sektor pertanian mempunyai masa depan yang sangat cerah. Dari segi pasaran harga, makanan-makanan perlulah ditetapkan pada harga yang berpatutan dan mampu milik," katanya.