Tablet dan Data percuma 6 bulan untuk pelajar iCATS
KUCHING, 3 Jun: Kolej Antarabangsa Teknologi Lanjutan Sarawak (i-CATS) akan memberikan kemudahan tablet PC dan pelan data internet selama enam bulan kepada pelajar baharunya yang mengambil program kursus pengajian ijazah sarjana muda dalam E-Dagang dan Kejuruteraan Perisian bermula 29 Jun depan.
Ini kerana pelajar baharu terbabit tidak boleh menghadiri kelas secara bersemuka berikutan pandemic Covid-19 dan kelas bagi dua program kursus pengajian ijazah terbabit akan diadakan secara atas talian.
"Bagi memudahkan pembelajaran berasaskan di rumah kepada pelajar yang mungkin dari berlainan lokasi di seluruh Sarawak, selepas pendaftaran setiap pelajar ini akan menerima satu tablet pc dan pelan data internet RM68 sebulan bagi tempoh enam bulan,"menurut kenyataan media kolej terbabit hari ini.
Kemudahan terbabit merupakan salah satu program tangungjawab sosial koperat (csr) i-CATS Care Unit bagi membantu pelajar kolej itu khususnya mereka yang dari isirumah B40 melanjutkan pelajaran di peringkat pengajian tinggi.
Kolej itu menjangkakan kemudahan terbabit akan menjimatkan kos perjalanan dan penginapan bagi pelajar dua program ijazah selama tiga tahun berkenaan yang ditawarkan i-CATS di kampus Jalan Stampin Timur di sini dengan kerjasama Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (IUKL).
"Mengenai bantuan kewangan, kakitangan i-CATS akan menbantu pelajar terbabit memohon pinjaman pelajaran dari Yayasan Sarawak. Dalam hal ini, pelajar yang memenuhi syarat ditetapkan akan ditawarkan Pinjaman Pendidikan Biasiswa, yang merangkumi yuran kursus dan elauan bulanan sebanyak RM400,"menurut kolej itu.
Sehubungan itu, pihaknya mempelawa lepasan STPM dan diploma untuk mendaftar mengikuti kedua kursus pengajian terbabit secara atas talian dengan program orientasi pelajar baharu kolej itu bagi pengambilan Jun 2020 akan diadakan dari 24 sehingga 26 Jun depan.