Tadika dua sesi dibenarkan, Fatimah

KUCHING, 16 Jun: Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak membenarkan taman didikan kanak-kanak (tadika) di negeri ini beroperasi secara dua sidang iaitu sesi pagi dan sesi petang bagi beroperasi semula 1 Julai depan.

Menterinya , Dato Sri Fatimah Abdullah berkata ini terutamanya tadika yang ada ramai kanak-kanak dan tiada bilik yang mencukupi bagi kanak-kanak terbabit menjalankan penjarakan sosial apabila beroperasi semula.

"Sekiranya bilangan (kanak-kanak tadika) besar maka bolehlah gunakan dua sidang iaitu sesi pagi dan sesi petang atau secara bergilir harian dan ini adalah bergantung kepada persetujuan bersama antara ibu bapa dengan pengusaha (tadika),"katanya ketika mengadakan sidang media Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi pembukaan tadika di Sarawak di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur, Petra Jaya, di sini, hari ini.

Fatimah Abdullah mengulas mengenai keputusan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak yang telah membenarkan tadika beroperasi semula pada 1 Julai depan yang sama dengan keputusan yang dibuat kerajaan pusat.

Katanya ini kerana salah satu SOP pembukaan tadika 1 Julai depan ialah jumlah kanak-kanak dalam setiap biliknya mestilah dikurangkan sebanyak 50 peratus dari jumlah maksima bilik terbabit bagi membolehkan penjarakkan sosial.

"Maksima ialah seramai 25 (orang kanak-kanak tadika dalam satu bilik ), jadi seramai 10 (orang kanak-kanak tadika dalam satu bilik) adalah jumlah yang dinasihatkan,"katanya.

Katanya sebelum ini pengusaha tadika memaklumkan pihaknya yang mereka juga akan mengunakan lebihan bilik yang tidak digunakan di premis masing-masing bagi dijadikan bilik kepada kanak-kanak terbabit bagi mematuhi SOP penjarakkan sosial itu.

"Selain itu, ibu bapa juga mesti menghantar dan mengambil anak mereka mengikut masa yang ditetapkan bagi mengelakkan berlakunya kesesakkan di tadika yang ada ramai bilangan kanak-kanak,"katanya.

Fatimah berkata SOP lain tidak banyak berbeza Taman Asuhan Kanak-Kanak (taska) yang mula beroperasi 9 Jun lepas termasuk kakitangan, guru dan ibu bapa memakai topeng muka, pembacaan suhu badan kanak-kanak, tidak aktiviti berkumpulan, tidak berkongsi mainan dan sebagainya.

Selain itu, beliau juga mengingatkan tadika dan taska di negeri ini supaya mematuhi semua SOP ditetapkan, kerana pihaknya akan mengarahkan tadika atau taska yang ada gagal mematuhi SOP itu supaya ditutup sehingga pihaknya berpuas hati mereka akan mematuhi semua SOP terbabit

LihatTutupKomentar
Cancel