Tiga visi utama menjadi negeri maju 2030

KUCHING: Kerajaan Sarawak berkongsi tiga visi utama untuk menjadi sebuah negeri maju menjelang 2030.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, tiga visi berkenaan ialah kesejahteraan ekonomi, keterangkuman sosial dan persekitaran lestari yang dapat dinikmati oleh setiap golongan masyarakat di negeri ini.
Beliau berkata, demi mencapai visi Sarawak, keutamaan diberikan kepada rakyat serta memenuhi keperluan mereka.
"Dari segi kesejahteraan ekonomi, kita mestilah mencapai pertumbuhan tahunan 8% agar dapat menggandakan saiz ekonomi daripada RM133 billion pada tahun 2018 kepada RM282 billion.

"Pertanian Komersial, Perlombongan, Perhutanan, Sektor Pembuatan dan Perkhidmatan termasuk pelancongan adalah penjana pertumbuhan kita," katanya pada pembukaan mesyuarat pertama Majlis Tindakan Ekonomi Sarawak (MTES) semalam.

Abang Johari berkata, visi kedua iaitu keterangkuman masyarakat melibatkan projek atau inisiatif berpusat kepada rakyat.

Menurutnya, pengagihan kekayaan kepada rakyat hendaklah secara saksama serta jurang pendapatan akan dapat dikurangkan melalui peningkatan pekali GINI (GINI coefficient). 

"Dan juga, peratusan isi rumah berpendapatan rendah di Sarawak adalah 53%. Perkara ini haruslah ditangani secara holistik. Dalam jangka masa 10 tahun, kita harus menurunkannya dengan mendadak," katanya.

Beliau berkata, visi ketiga iaitu kelestarian persekitaran dengan menjaga kebersihan dan kesihatan demi generasi sekarang dan juga yang akan datang.

"Kita akan teruskan usaha penghutanan semula bagi meningkatkan perlindungan hutan kita. Kita juga akan meningkatkan kerangka peraturan dan memastikan bahawa ia dipatuhi," katanya.

Dalam pada itu katanya, Majlis Tindakan Ekonomi Sarawak (SEAC) akan meneliti 14 sektor ekonomi dan mengatur suatu strategi yang kuat dan padu sebagai panduan ke arah menjadi negeri maju menjelang 2030.
LihatTutupKomentar
Cancel