Tiong maafkan wanita berparang
BINTULU: Ahli Parlimen Bintulu Dato' Sri Tiong King Sing memberi penjelasan video tular membabitkan seorang wanita berang memegang pisau pemotong daging yang tular di meda sosial.
Difahamkan wanita berkenaan mengamuk apabila kerajaan mahu melaksanakan projek perparitan untuk menyelesaikan masalah banjir di di Kidurong Avenue (Kampung Pisang).
Menurut Tiong, wanita tersebut menanam tanaman di tanah simpanan milik kerajaan yang digunakan untuk melaksanakan projek perparitan.
"Isteri tuan rumah telah menanam tanaman di tanah reserve Jabatan Pengairan dan Saliran (DID). DID ingin melaksanakan projek peparitan untuk menyelesaikan masalah banjir di Kidurong Avenue (Kampung Pisang), namun isteri tuan rumah tersebut cuba menghalang pihak berkuasa dan mengugut pihak berkuasa.
"Semua penduduk di sana telah memberi kerjasama kecuali rumah tersebut.
"Apabila pihak berkuasa seperti DID and Tuan DO sendiri turun padang untuk menyelesaikan masalah tersebut, namun telah dimaki hamun dan diugut isteri tuan rumah tersebut," katanya.
Beliau berkata, dia cuba berbincang dan menyelesaikan masalah tersebut namun tindakan isteri tuan rumah telah melampaui batas.
"Apabila saya sampai di rumah tersebut, isteri tuan rumah tersebut telah mengeluarkan pisau dan melontar kata-kata kesat.
"Pegawai saya telah menghubungi pihak polis, polis telah tiba di tempat kejadian dan suami kepada perempuan tersebut pun tiba di rumah, suami beliau telah memohon maaf atas apa yang telah berlaku dan berjanji akan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa untuk melaksanakan projek tersebut demi kesejahteraan penduduk di kampung tersebut," katanya.
Tiong berkata, rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa perlu menghormati undang-undang.
"Kita sebagai rakyat Malaysia tidak kira apa bangsa, apa kaum perlu menghormati undang-undang. Negara kita merupakan negara yang perlu hormat kepada Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang," katanya.