Tujuh lelaki geng pecah taska ditahan

GEORGE TOWN, 10 Jun (Bernama) -- Polis berjaya menumpaskan geng pecah masuk taman asuhan kanak-kanak (taska) selepas menahan tujuh lelaki yang terlibat dengan kegiatan itu sejak beberapa bulan lepas dalam dua serbuan berasingan di sekitar Sungai Nibong, dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata bertindak hasil maklumat awam, polis menahan kesemua suspek berusia antara 21 dan 28 tahun itu bermula pukul 5.00 petang hingga 6.30 petang semalam.

Beliau berkata serbuan pertama dilakukan di sebuah apartment di Jalan Tun Dr Awang, Sungai Nibong dan polis berjaya menahan dua suspek manakala serbuan kedua dibuat di sebuah rumah di kawasan Sungai Nibong sebelum berjaya menahan lima suspek.

"Dalam serbuan di sebuah apartment di Jalan Tun Dr Awang, seorang daripada suspek bertindak nekad melarikan diri daripada ditangkap polis dengan turun dari tingkat lima ke tingkat empat melalui tingkap rumah, malah enggan menyerah diri dan bersembunyi di rumah yang tidak berpenghuni di situ.

"Pihak polis terpaksa meminta bantuan pasukan bomba untuk membantu menangkap lelaki berkenaan selepas suspek enggan menyerah diri walaupun telah dipujuk beberapa kali," katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati geng itu terlibat tiga kes pecah taska di Timur Laut dan empat kes di Barat Daya sejak Mac lepas membabitkan kerugian RM16,000.

Soffian berkata, siasatan lanjut masih dijalankan sama ada geng itu turut terlibat pecah masuk taska di daerah lain atau jenayah lain kerana enam daripada mereka yang ditahan itu mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Katanya, hasil ujian saringan awal polis mendapati lima daripada mereka juga positif dadah jenis methamphetamine dan semua mereka kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu pecah rumah bagi tujuan curi, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 14 tahun dan boleh didenda atau sebat bagi kesalahan kedua dan seterusnya," katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang telah menyalurkan maklumat berkaitan kes itu sehingga tertangkapnya tujuh lelaki itu dan turut mengalu-alukan maklumat daripada orang ramai untuk membantu pihak polis.
-- BERNAMA
LihatTutupKomentar
Cancel