Wanita ditipu beli iPhone 11 murah
KUANTAN, 26 Jun (Bernama) -- Seorang pengurus wanita membuat laporan polis selepas mendakwa diperdayakan dalam urusan pembelian 11 buah telefon pintar jenis iPhone 11 yang dijual pada harga murah, sejak November tahun lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang berusia 41 itu mendakwa telah menjelaskan bayaran keseluruhan berjumlah RM8,350 kepada suspek wanita, yang memperkenalkan dirinya sebagai ejen pengedar telefon berkenaan, kepada sebuah syarikat telekomunikasi.
“Mangsa mendakwa suspek telah meminta dia mencari mereka (pembeli lain) yang berminat untuk memiliki telefon pintar itu, kerana dikatakan harganya lebih murah jika dibeli dalam kuantiti yang banyak.
“Mangsa telah mencari 11 pembeli dan menyerahkan wang bagi pembelian itu semasa berjumpa suspek sekitar hujung tahun lepas,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Bagaimanapun, suspek didakwa telah menghilangkan diri pada pertengahan tahun ini dan menyebabkan mangsa kerap dihubungi pembeli-pembeli lain yang ingin mendapatkan semula wang mereka kata, Mohd Wazir.
Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan semalam, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA