10 kes positif, gelombang kedua bermula

KUCHING: Gelombang kedua COVID-19 bermula apabila Sarawak merekodkan 10 kes positif masing-masing di Daerah Kuching (6), Samarahan (2) dan Bintulu (2) hari ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di Sarawak setakat hari ini sebanyak 594 kes. 

Uggah berkata, orang ramai dinasihatkan tidak leka terhadap ancaman penularan COVID-19 yang masih serius di negeri ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dinasihatkan menyemak semula stok peralatan perlindungan diri (PPE) supaya tiada terputus bekalan.

Mengenai kes positif yang dilaporkan, Uggah berkata dua kes adalah kontak rapat kepada kes positif yang telah dikesan pada 13 Julai di atas kapal LNG Jupiter.

"Kedua-dua kes ini telah disaring pada 16 Julai 2020 dan ujian rT-PCR mereka telah didapati positif untuk COVID-19 pada hari yang sama.

"Kedua-dua kes juga tidak menunjukkan 
sebarang tanda dan gejala.

"Kes akan dibawa turun dari kapal dan akan dimasukkan ke Hospital Bintulu untuk rawatan lanjut," katanya.

Menurutnya, empat kes melibatkan warganegara tempatan yang baharu balik dari luar negara yang sedang menjalani kuarantin 14 hari.

Katanya, kes masing-masing dua orang berasal dari Daerah Kuching dan dua orang berasal dari Daerah Samarahan.

"Mereka ini juga tidak menunjukkan sebarang tanda dan gejala dan telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut. 

"Kesemua kes ini dikategorikan sebagai kes import yang melibatkan 
warganegara tempatan," katanya.

Menurutnya, satu kes lagi adalah melibatkan seorang wanita warga emas dari Daerah Kuching yang telah mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan dan telah dirujuk serta dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak pada 9 Julai 
2020 kerana mengalami Severe Acute Respiratory Infection (SARI). 

"Kes juga menghidap penyakit kencing manis dan tekanan darah tinggi. Ujian ulangan untuk swab untuk rT-PCR pada 16 Julai 2020 mendapati beliau positif 
COVID-19.

"Kes adalah jangkitan tempatan kerana kes tidak mempunyai sejarah perjalanan melawat ke luar negara," katanya.

Dalam pada itu katanya, satu kes positif Pekerja Kesihatan adalah kontak rakan tempat kerja kepada kes Ke-582 yang 
dikesan pada 15 Julai hasil saringan kepada kontak kepada kes positif 
COVID-19. 

Selain itu katanya, dua kes positif saringan kendiri adalah wargenegara tempatan yang telah membuat saringan kendiri di Hospital Swasta.

Menurutnya, kluster baharu yang dikesan iaitu Kluster Kapal LNG Jupiter dengan penambahan dua kes baru pada hari ini, menjadikan jumlah 
keseluruhan kes yang melibatkan kluster ini ialah seramai tiga orang.

"Bagi Kluster Pusat Perubatan Kuching iaitu penambahan satu kes baru yang merupakan rakan tempat kerja kepada 
kes Ke-582 menjadikan jumlah keseluruhan kes positif yang melibatkan 
kluster ini ialah seramai dua orang," katanya.
LihatTutupKomentar
Cancel