65 tahun cadangan Bank Dunia, KWSP


KUCHING, 6 Julai: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Sarawak meminta orang ramai di negeri ini tidak percaya dakwaan yang sedang viral tentang umur bersara pekerja akan dinaikan dari 55 kepada 65 tahun.

Ketua Negeri KWSP Kuching, Halim Boweng berkata dakwaan itu dipercayai berpunca dari cadangan Bank Dunia menaikkan had umur ahli bagi membuat pengeluaran penuh simpanan dalam Akaun 1 dan 2 KWSP dari umur 55 kepada 65 tahun secara berperingkat.

"Itu hanya cadangan Bank Dunia, tapi KWSP masih berpegang kepada prinsip (umur bersara) pada 55 tahun dan boleh mengeluarkan sepenuhnya (wang dari akaun KWSP),"katanya ketika menyertai sidang media mengenai i-Suri bersama Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah, di Bangunan Baitulmakmur, Petra Jaya, di sini, hari ini.

Halim berkata walaupun umur bersara 55 tahun, sebenarnya pencarum KWSP boleh mengeluarkan wang caruman mereka dalam akuan KWSP sebelum usia 50 tahun seperti bagi perbelanjaan anak yang bersekolah atau menampung kos perubatan.

"Secara tradisinya KWSP hanya bagi yang bekerja formal, sekarang ini kerajaan melihat kepada mereka yang bukan bekerja formal supaya semua orang ada simpanan wang bagi waktu bersara,"katanya.

Beliau berkata salah satu ialah melalui Program Caruman Sukarela Insentif Suri atau i-Suri bagi disertai wanita tempatan berusia 60 tahun kebawah yang menjadi isteri ketua isi rumah, adalah ketua isi rumah, balu, bujang atau bercerai dan peserta e-Kasih.

Katanya wanita terbabit akan menerima bantuan caruman sebanyak RM60 setahun dari kerajaan Sarawak dan mereka juga akan menerima insentif khas sebanyak 480 setahun dari kerajaan pusat.

LihatTutupKomentar
Cancel