Calon speaker sudah ada, Fadillah


KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama)-- Calon untuk dilantik sebagai Speaker Dewan Rakyat yang baharu telah dikenal pasti, dedah Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Parlimen Datuk Seri Fadillah Yusof.

Tanpa menamakannya, Fadillah hanya memberi bayangan bahawa calon berkenaan bukannya seorang Ahli Parlimen dan hanya tersenyum apabila ditanya sama ada calon berkenaan juga dari Sarawak.

"Saya tak mengatakan siapa bakal penggantinya, yang pasti bakal penggantinya orang yang berkelayakan, orang Malaysia," katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Sijil Kontraktor Penyiap kepada 39 kontraktor di sini, hari ini.

Pada Ahad lepas, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof mengesahkan telah menerima usul mencadangkan supaya khidmat beliau sebagai speaker Dewan Rakyat ditamatkan.

Menurut Mohamad Ariff, turut diterima adalah usul mencadangkan supaya khidmat Nga Kor Ming sebagai timbalan speaker juga ditamatkan.

Fadillah yang juga Menteri Kanan Infrastruktur dan Menteri Kerja Raya berkata GPS menyokong apa yang telah diputuskan Perikatan Nasional (PN) kerajaan Persekutuan dan yakin Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai asas kukuh dalam mengusulkan pertukaran kedua-dua pemegang jawatan berkenaan.

"Jadi kita akan sokong usul itu, dah kenal pasti siapa bakal pengganti dan kita akan melihat apa yang akan berlaku di Parlimen pada 13 Julai nanti," katanya.

Mengenai Pilihan Raya Negeri Sarawak, Fadillah berkata pihaknya bersedia menghadapinya pada bila-bila masa namun tarikhnya terserah kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

"Untuk kita di Sarawak kita bukan bekerja untuk pilihan raya kita bekerja untuk rakyat dan kita bersedia pada bila-bila masa pilihan raya itu akan diadakan," katanya.

-- BERNAMA
LihatTutupKomentar
Cancel