Dewan Masyarakat ganti Klinik Kesihatan

MIRI: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, usaha proses perpindahan penempatan semula Klinik Kesihatan Long Lama akan dipercepatkan.

Klinik Kesihatan Long Lama diarahkan tutup pada Rabu lalu kerana pemendapan tanah di bahagian depan luar bangunan dan jalan raya menghala ke pintu masuk utama. 

Dewan Masyarakat Long Lama digunakan sebagai penempatan sementara dijangka mula beroperasi pada 20 Julai ini sementara menunggu isu tanah mendap tersebut selesai.

Uggah berkata, sehubungan itu sebanyak RM70,000 diperuntukkan untuk menambah baik Dewan Masyarakat Long Lama bagi penempatan klinik berkenaan.

"Kerajaan Sarawak meluluskan RM70,000 untuk menambah baik dewan supaya perpindahan dapat disegerakan," katanya selepas lawatan ke Klinik Kesihatan Long Lama hari ini.

Datuk Amar Douglas mendengar taklimat berkenaan kejadian kegagalan cerun (tanah runtuh) di Klinik Long Lama tersebut. Turut hadir Menteri Muda Kerajaan Tempatan merangkap Adun Marudi, Datu Dr Penguang Manggil dan Adun Telang Usan, Dennis Ngau. 

Hadir sama Pemangku Residen Miri, Superintendent Jabatan Tanah dan Survey Miri, Jurutera Bahagian JKR Miri, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Pengerusi Majlis MD Marudi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Miri, PDRM dan agensi-agensi lain.

Uggah berkata, pihaknya berharap proses perpindahan penempatan sementara dapat diselesaikan segera agar penduduk dapat menikmati perkhidmatan klinik secara berterusan.

Dalam pada itu katanya, Jabatan Kerja Raya (JKR) digesa membuat laporan bagi mencari punca sebenar kejadian pemendapan tanah di kawsan klinik tersebut.
LihatTutupKomentar
Cancel