Empangan Bakun lepaskan air esok
KUCHING, 11 Julai: Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) meminta semua penguna Sungai Batang Rajang di tengah negeri ini bersedia dengan peningkatan paras air di hilir sungai terbabit mulai esok.
Ini berikutan operasi pelepasan air dari Empangan Bakun secara terkawal akan dilaksanakan Sarawak Energy Berhad selama empat minggu bermula esok 12 Julai sehingga 8 Ogos depan.
"Ini adalah untuk membolehkan penurunan air di dalam Empangan Bakun ke paras yang selamat," menurut lembaga terbabit dalam notis disiarkannya di laman Facebooknya.
Lembaga terbabit menjangkakan sepanjang tempoh pelepasan air terbabit paras air di sebelah hilir empangan akan mengalami peningkatan secara signifikan.
"Semua pihak yang terlibat iaitu nakhoda kapal dan penguna sungai di hilir Empangan Bakun adalah dinasihatkan mengambil tindakan awal dari aspek keselamatan semasa belayar,"menurut LSS bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
Orang ramai yang mahu maklumat lanjut boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan 24 jam Sarawak Energy Berhad di talian 1 300 88 3111.