Kerajaan Sarawak bayar caruman i-Suri
KUCHING, 6 Julai: Kerajaan Sarawak secara prinsipnya bersetuju membayar caruman sebanyak RM60 setahun kepada setiap wanita peserta program eKasih di negeri ini yang menyertai Program Caruman Sukarela Insentif Suri atau i-Suri.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata demikian dengan ketika ini setiap peserta caruman i-Suri dibawah Kumpulan Simpanan Pekerja Pekerja (KWSP) terbabit yang membayar carumannya sebanyak RM60 setahun akan menerima insentif khas sebanyak RM480 setahun dari kerajaan pusat dalam akaun KWSP mereka.
"Ketua Menteri (Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg) berkata kita (secara prinsipnya) akan membayar caruman RM60 setahun itu kerana kasihan melihat mereka (pencarum i-Suri di Sarawak) terutama di luar bandar yang datang jauh untuk ke bank semata-mata bagi membayar caruman terbabit (secara ansuran) RM10 atau RM20,"katanya ketika mengadakan sidang media mengenai caruman i-Suri di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur, Petra Jaya, di sini, hari ini.
Fatimah berkata persetujuan Ketua Menteri secara prinsip bagi membayar caruman terbabit selepas itu akan dibawa pihaknya ke majlis mesyuarat kerajaan negeri bagi diluluskan.
Katanya kerajaan negeri juga akan membayar caruman RM60 setahun terbabit kepada setiap peserta caruman i-Suri tanpa mengira samada mereka sudahpun membayar sepenuhnya atau separuh caruman terbabit tahun ini.
"Sekarang ini kadar dividen ditawarkan KWSP sebanyak 5.45 peratus, dengan sebab itu kerajaan negeri percaya dan yakin terhadap keupayaan, kebolehan dan prestasi KWSP,"katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta wanita di negeri ini yang menjadi peserta eKasih dan memenuhi syarat menjadi pencarum i- Suri untuk segera mendaftar dengan KWSP bagi menerima bantuan caruman RM60 setahun terbabit dari kerajaan Sarawak.
"Kalau mereka mendaftar pada bulan Julai ini, mereka akan mendapat bayaran insentif khas RM480 ( kerajaan pusat) pada Febuari tahun depan,"katanya.
Katanya i-Suri terbuka disertai wanita yang menjadi isteri kepada ketua isi rumah atau mereka ketua isi rumah, balu, bujang atau bercerai dan mereka mestilah golongan miskin menyertai program eKasih serta berumur tidak mencapai umur 60 tahun.
Fatimah mendedahkan Sarawak sehingga November 2019 ada keseluruhannya ada seramai 66,120 peserta eKasih dengan seramai 25,813 peserta terbabit adalah wanita terbabit dan seramai 42.85 peratus daripada mereka sudah menyertai program i-Suri.
Menurutnya wang caruman i-Suri terbabit boleh dikeluarkan setelah pencarum berusia 55 tahun malahan mereka juga boleh mengeluarkan wang lebih awal bagi menampung kos perubatan atau bagi kegunaan anak mereka melanjutkan pelajaran seperti pencarum KWSP biasa yang bekerja.
"Faedah lain ialah sekiranya berlaku kematian ada khairat kematian sebanyak RM2,500 dan sekiranya berlaku kemalangan ada bantuan sebanyak RM5,000,"katanya.