Mabuk, seret rakan 30 meter hingga mati
MUKAH: Angkara mabuk seorang lelaki maut selepas diseret rakannya sendiri sejauh 30 meter menggunakan kereta di Jalan Pasar Baru depan Kedai Popular,di sini,awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 2.10 pagi itu,mangsa Azharryzam Hu Abdullah, 48, beralamat di Kampung Baru Cina, Dalat, yang mengalami kecederaan di bahagian kepala disahkan meninggal dunia jam 9.15 pagi ketika mendapat rawatan di hospital Mukah.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata,sebelum itu kedua-dua mereka menikmati sesi minuman keras bersama.
"Mangsa bersama rakannya berusia 52 tahun minum -minuman keras di lokasi lain dan keluar dari kedai minum tersebut lebih awal setelah kedua-dua sama mabuk dan rakannya masih minum seorang diri.
"Apabila rakannya pergi ke Kedai Popular dia terjumpa dengan mangsa di kedai tersebut dan mereka berbual sekejap,"katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya,semasa rakannya itu hendak meneruskan perjalanan, dia tidak sedar mangsa masih lagi berada di hadapan kereta membuatkannya diseret sejauh 30 meter.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.