MCMC, SMA bekerjasama tingkatkan penyambungan jalur 4G di Sarawak
KUCHING, 10 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyasarkan untuk meningkatkan penyambungan jalur lebar 4G di Sarawak sehingga sekurang-kurangnya 90 peratus berbanding 71 peratus ketika ini.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah berkata untuk tujuan itu, MCMC akan menjalinkan kerjasama erat dengan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA).
“Ini dibincangkan tadi dalam pertemuan ringkas dengan SMA, melihat bagaimana boleh melipatgandakan kerja-kerja MCMC di Sarawak khususnya dalam penyambungan jalur lebar 4G.
“Jadi selepas ini akan ada lagi perbincangan yang lebih teliti tentang cara gaya untuk mempercepatkannya selain merapatkan kerjasama di antara MCMC dan SMA,” katanya kepada wakil media selepas mengadakan lawatan dan merasmikan Pejabat MCMC cawangan Sarawak di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Suriani Ahmad, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Morshidi Ghani, Pengerusi MCMC Dr Fadlullah Abdul Malek dan Pengarah MCMC Sarawak Adiman Ajem.
-- BERNAMA