Parlimen kecoh pembangkang bantah kosongkan jawatan Yang Dipertua


KUALA LUMPUR, 13 Julai (Bernama)-- Persidangan Dewan Rakyat menjadi panas apabila pihak pembangkang memohon penjelasan daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung usul yang dicadangkan Perdana Menteri untuk dewan mengambil ketetapan Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof mengosongkan jawatan Yang Dipertua Dewan.

Sejurus Timbalan Yang Dipertua Datuk Rashid Hasnon menetapkan dua wakil masing-masing daripada blok kerajaan dan pembangkang membahaskan usul itu, beberapa Ahli Parlimen pembangkang bangkit mempersoalkan mengapa usul itu dikemukakan. 

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon penjelasan daripada Perdana Menteri mengenai alasan kukuh mengapa Mohamad Ariff perlu mengosongkan jawatannya.

“Kalau ada seorang Speaker yang ada wibawa dan track record yang baik dan menyingkirkan beliau perlu ada alasan ….untuk tukar atas alasan ada calon baru, alasan itu tidak munasabah, sangat tidak munasabah.

“Saya nak tekankan kita boleh pertimbangkan jika PM beri alasan kukuh kenapa Speaker yang cemerlang mahu digugurkan,” kata Ahli Parlimen Port Dickson itu.

Beberapa Ahli Parlimen pembangkang lain seperti Gobind Singh Deo (PH-Puchong), Khalid Abdul Samad (PH-Shah Alam) dan Datuk Mahfuz Omar (PH- Pokok Sena) turut bangun mempersoalkan usul berkenaan dan serentak itu beberapa penyokong kerajaan turut bangun mempertahankan usul sehingga timbul kekecohan seketika.

-- BERNAMA
LihatTutupKomentar
Cancel