Pekerja minyak dan gas perlu disaring COVID-19

SARIKEI:Pekerja minyak dan gas yang berniat pulang ke kampung dari luar negara harus melalui saringan dan pemeriksaan COVID-19 sebelum balik ke rumah panjang masing-masing demi keselamatan semua.

Presiden Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU),Tan Sri William Mawan Ikom berkata, ia berikutan dengan beberapa kes positif COVID-19 yang dilaporkan di Sarawak sejak beberapa hari lalu.

"Biarpun kita telah diiktiraf sebagai salah satu dari negara terbaik di dunia dalam usaha memerangi wabak COVID-19, kemungkinan ian akan menjadi lebih teruk masih ada dan sebab itulah kita harus sentiasa berhati-hati dalam apa jua perkara.

"Mereka yang bekerja dalam bidang minyak dan gas di luar negara mesti melalui pemeriksaan COVID-19 apabila balik ke tanah air supaya mengurangkan risiko penyebaran wabak itu,"katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Bersama Rakyat di Rumah James anak Jantan, Nanga Darau, Pakan,hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan itu berkata,sekiranya penularan wabak COVID-19 berlaku boleh memudaratkan semua pihak terutama saudara-mara yang berada di rumah panjang.

"Semua masyarakat memainkan peranan masing-masing dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan pada ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sedang dilaksanakan kini.

Untuk rekod, sebanyak lima kes baharu COVID-19 yang telah dikesan pada minggu lepas dan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas telah menyuarakan kebimbangan yang Sarawak mungkin akan memasuki gelombang kedua wabak COVID-19.
LihatTutupKomentar
Cancel