Pengerusi Tetap antara 100 ahli AMK Port Dickson umum keluar parti


PORT DICKSON, 11 Julai (Bernama)-- Seorang pemimpin PKR Cabang Port Dickson mendakwa hampir 100 ahli Angkatan Muda Keadilan (AMK) cabang itu keluar parti kerana tidak bersetuju dengan hala tuju parti yang disifatkan hanya bertujuan menjadikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.   

Pengerusi Tetap AMK cabang itu Amirudin Abdul Wahab mendakwa antara yang bersamanya keluar PKR ialah setiausaha dan kesemua 15 ahli jawatankuasa AMK Port Dickson.

“Malah parti juga sanggup memecat ahli yang banyak berjasa semata-mata berbeza pandangan dalam perkara kecil. Anggota dikehendaki taksub dengan cita-cita menjadikan Anwar perdana menteri dan siapa yang tidak akur akan dipecat. 

“Perbincangan mengenai reformasi dan pembelaan rakyat semakin jauh, sebaliknya tajuk utama hanya berkisar kepada label-melabel dan menyerang sesama sendiri akibat taksub dengan sosok dan cita-cita menjadi perdana menteri,” katanya pada sidang media mengenai perkara itu, di sini hari ini.

Menurutnya, kepimpinan AMK Port Dickson juga tergantung selepas Ketuanya Mohd Nazir Hamed mendapat undi tidak percaya pada mesyuarat agung tahunan AMK 2019 sementara Timbalan Ketua Muhammad Affandi Abd Malik dan Naib Ketua Ammar Abd Rashid pula digantung keahlian bulan lalu.

 Amirudin berkata kumpulan itu turut menyokong penuh kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

-- BERNAMA
LihatTutupKomentar
Cancel