PKR Sarawak minta tangki air untuk Bomba
KUCHING, 5 Julai: Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak, Abang Zulkifli Abang Engkeh mahu kerajaan menyediakan tangki air stanby bagi digunakan pasukan bomba sukarela di rumah panjang dan kampung di luar bandar negeri ini.
"Sekarang ini di kampung dan rumah panjang memang ada satu pasukan dinamakan bomba sukarela, tetapi pasukan ini tidak akan berfungsi kalau air tidak mencukupi (bagi memadam kebakaran),"katanya ketika menyertai siaran langsung di Facebook Keadilan Sarawak mengenai Air Bersih, Elektrik dan Perumahan yang Selamat: Hak Asasi Manusia Yang Terabai Di Negeri ini, hari ini.
Zulkifli berkata masalah air tidak mencukupi itu pernah berlaku di Kampung Datu, Sibu pada 2013 dan berikutan mencadangkan penyediaan tangki air stanby terbabit disamping pemberian peralatan memadam kebakaran.
Beliau agak khuatir kerana bukan sahaja kebakaran rumah panjang malahan kebakaran kampung Melayu disebabkan rumahnya dibina amat rapat seperti di kampung Awat-Awat di Lawas dan kampung Beladin, Kampung Meludam, kampung Pusa serta kampung Kabong di selatan negeri ini.
Selain itu,beliau juga mahu kerajaan memberikan didikan kepada penduduk rumah panjang dan kampung di negeri tentang pencegahan kebakaran terutama yang biasanya disebabkan kecuaian manusia.
"Orang kita perlu dididik terutama yang tinggal di rumah panjang, kita memang sudah berpengalaman melihat rumah panjang itu terbakar, melihat rumah panjang itu hangus dan membantu mereka dalam kebakaran dan sebagainya,"katanya.
Zulkifli berkata ini kerana kecuaian manusia kemungkinan antara punca kebakaran rumah panjang terbabit terutamanya kecuaian pengunaan peralatan elektrik yang tidak sepatutnya.
"Kadang-kadang palam (elektrik) itu cucuk sana, cucuk sini, sampai empat dan lima palam digunakan, dimana itu memang tidak digalakkan,"katanya.