Tanah NCR hilang kerana tiada enakmen perlindungan, Joshua Jabeng
KUCHING, 13 Julai: Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak, Joshua Jabeng mencadangkan Enakmen Rizab Tanah Hak Adat (NCR) diperkenalkan bagi melindungi tanah NCR milik penduduk negeri ini seperti Enakmen Rizab Melayu di Semenanjung.
"Kalau di Semenanjung ada dikatakan Enakmen Rizab Melayu yang tujuan mempastikan tanah hak adat Melayu tak akan hilang, kekal selama-lamanya, tidak boleh dijual sebarang kepada orang yang bukan Melayu supaya kekal milik orang Melayu di Semenanjung," katanya ketika menjadi panel membahaskan isu Ekonomi: Perspektif Anak Muda dan Komuniti Terpinggir di Sarawak yang disiarkan di laman Facebook Keadilan Sarawak, semalam.
Joshua berkata di Sarawak kerana ketiadaan enakmen yang serupa, tanah NCR banyak hilang, telah dicuri dan dijual dari belakang kepada syarikat-syarikat atau pemilik lain yang bukan pemilik asal tanah NCR terbabit.
Katanya ini kerana selepas 57 tahun, sudah banyak pemimpin politik Dayak bersilih ganti, namun tidak ada yang memberi perhatian penuh kepada pemilikan sah tanah-tanah NCR rakyat.
"Mereka tidak tahu, mungkin tidak terpelajar, tidak tahu maksud undang-undang, tidak faham prosedur (Jabatan) Tanah dan Survei bagaimana menguruskan tanah supaya orang memiliki (tanah) asal boleh memiliki sijil hak tanah,"katanya.
Berikutan itu, Joshua bercadang memperkenalkan Enakmen Rizab NCR di Sarawak yang serupa Enakmen Rizab Melayu di Semenanjung sekiranya rakyat memberi peluang parti terbabit menjadi kerajaan negeri.