Tangguh dulu rentas sempadan, buka sekolah diumum hari ini

KUCHING: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian menasihatkan penduduk Daerah Kuching tidak  melakukan perjalanan rentas daerah buat masa ini.

Menurutnya, ia bagi membantu mengawal penularan wabak COVID-19 yang dikesan kembali berlaku di bandar Kuching.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kes terbaru di Kuching melibatkan kluster baharu  di tempat 
kerja di mana ia melibatkan seramai dua kes disahkan 
positif COVID-19 iaitu Kluster Syarikat Kejuruteraan Kuching.

Sim berkata, bagaimanapun masih tiada larangan bagi mereka dari melakukan rentas sempadan antara daerah.

"Kalau boleh jangan pulang ke rumah panjang dan sebagainya (di daerah lain) sehingga semua kes positif (di Kuching) dapat dikesan.

"Saya harap orang ramai di Kuching kekal berada di sini dan tidak melawat rumah panjang sehingga kita berjaya mengesan jangkitan
,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pertauliahan Pegawai Bomba Bantuan di Ibupejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak di Jalan Setia Raja, semalam.

Sim berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) akan berbincang bersama Jabatan Pendididikan Negeri untuk pembukaan semula sekolah pada hari ini.

Menurutnya, perbincangan akan melihat kepada perkara yang menyeluruh dengan mengambil kira perkembangan kes Covid-19 terkini. 

"Kami melihat kes terkini dan yang lain yang harus dipertimbangkan kerana baru-baru ini, kebanyakkan kes berlaku di Sarawak," katanya.

Sebelum ini, Menteri Kanan Kluster Pendidikan, Dr Radzi Jidin mengumumkan pembukaan semula sekolah pada esok.

Fasa pertama melibatkan pelajar tingkatan enam semester satu, pelajar tingkatan satu hingga empat, tahun lima dan tahun enam serta kelas peralihan. 

Manakala fasa kedua melibatkan pelajar tahun satu hingga tahun empat akan kembali ke sekolah pada 22 Julai. 
LihatTutupKomentar
Cancel