Tujuh pusat Rukun Tetangga untuk Sarawak
KUCHING, 11 Julai: Kementerian Perpaduan Negara akan membina sebanyak tujuh pusat Rukun Tetangga (RT) berkonsepkan kompleks perpaduan yang bernilai RM1 juta setiap satu di negeri ini pada tahun ini.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata pusat terbabit akan dibina di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terpilih di negeri ini bagi kegunaan KRT di DUN terbabit.
"Kita dah bincang dengan kerajaan negeri (Sarawak) dan kerajaan negeri yang akan tentukan ( DUN terpilih terbabit),"katanya ketika menghadiri Program Semarak Perpaduan Perkasa Komuniti anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Sarawak di Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Semariang Batu, Petra Jaya, di sini, malam tadi.
Halimah berkata berkemungkinan pusat RT terbabit akan dibina di kawasan DUN Samariang dan juga DUN Satok di bandar raya ini yang ada banyak KRT.
Katanya ketika ini terdapat 8,274 KRT di seluruh negara termasuk 1,049 di Sarawak dan pihaknya bercadang menyediakan kemudahan kabin bagi KRT terbabit yang tiada pusat RT atau kompleks perpaduan itu serta tiada bangunan sendiri bagi beroperasi
"Kita akan bagi kabin dan dalamnya ada penghawa dingin dan kelengkapan cukup bagi boleh menjadi pejabat operasi," katanya.
Halimah berkata kemungkinan kabin terbabit yang pertama akan hantar kepada KRT di Sarawak kerana negeri ini yang ada kepelbagai kaum dan menjadi contoh baik kepada kementerian itu dari segi hidup harmoni dan bersatu padu.
Selain itu beliau mendedahkan kementerian terbabit bersetuju menaikkan geran KRT sebanyak M500 tahun ini dan akan menaikkan lagi geran itu sebanyak RM1,000 tahun depan.
"KRT sangat aktif akan dapat (geran) sebanyak RM7,500 tahun depan, yang aktif akan dapat ( geran) RM 5, 500 dan yang sederhana aktif dapat (geran) RM4,500,"katanya.