SK Paun Temaga dapat blok kelas & rumah guru baharu



SEMATAN – “Terima kasih Pan Borneo. Terima kasih Lebuhraya Borneo Utara(LBU). Terima kasih Samling”, kata pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Paun Temaga, Sematan sempena penyerahan blok sekolah dan rumah guru baharu dekat sini hari ini.

Kemudahan ini dibina oleh kontraktor Lebuhraya Pan Borneo Sarawak di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR) melibatkan 12 sekolah usang seluruh Sarawak, salah satunya SK Paun Temaga.
Mulai minggu depan, murid-murid sekolah itu akan berpindah ke blok baru dan tidak lagi belajar dalam bilik kelas yang lama dan sesak.

Guru Besar SK Paun Temaga, Albert Bujan berkata, sebelum ini mereka menghadapi masalah kekurangan bilik kelas.

“Salah satu kelas dibahagikan kepada dua bilik bagi membolehkan dua kelas pada satu masa. Kita berterima kasih kerana sekarang mempunyai kemudahan kelas yang selesa untuk murid-murid,” katanya.

Selain bilik kelas, guru-guru sekolah turut berpuas hati dengan rumah guru yang luas.
Bagi guru sekolah, Sopheena Nyowep, dia teruja untuk berpindah ke kuarters memandangkan sebelum ini menyewa di Lundu.

“Rumah baru ini memudahkan tugas saya untuk mengajar dan sudah tentu selesa,” katanya yang mengajar bahasa Inggeris di sekolah itu.

Sementara itu majlis penyerahan yang sederhana namun penuh bermakna itu dihadiri pegawai rasmi dari Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Samling Resources dan LBU.

Untuk SK Paun Temaga, Samling Resources membina satu blok sekolah yang terdiri daripada 4 bilik darjah dan satu rumah banglo sebagai sumbangannya kepada masyarakat setempat.
Dibina pada anggaran RM1 juta, pembinaan mengambil masa sembilan bulan.

Sekolah SK Paun Temaga dibina pada tahun 1965. Hari ini, sebahagian besar kemudahan sekolah sudah usang namun kakitangan sekolah dan ibu bapa melakukan yang terbaik untuk mengindahkan kawasan sekolah.

Sekolah itu kini mempunyai 88 pelajar sekolah rendah dan tadika dari kawasan Sematan dan sekitarnya. Sekolah itu termasuk dalam program sekolah kluster yang terpilih untuk sekolah-sekolah luar bandar.
Di bawah program sekolah CSR “Usaha Murni Pan Borneo Highway Sarawak”, tiga sekolah yang sudah usang telah menerima kemudahan baru iaitu SK Kampung Buda (Betong) oleh Lebuhraya Borneo Utara, SK Puak (Lundu) dan SK Paun Temaga (Sematan) kedua-duanya oleh Samling Resources.

Kemudahan di tiga sekolah luar bandar yang dinaiktaraf- SK Sungai Buloh (Selangau) oleh Musyati – Mudajaya JV, di SK Engkabang (Roban) oleh PPES Works-Bina Puri JV dan SK Kampung Bulau (Subis, Miri) oleh Konsortium KPE .

Baki kontraktor Lebuhraya Pan Borneo Sarawak turut merancang membina semula program-program sekolah mereka dengan bekerja rapat dengan Jabatan Pendidikan Negeri dan LBU.

LihatTutupKomentar
Cancel