Bina Replika Rentap Di Betong, Uggah


Uggah menyaksikan majlis menandatangani perjanjian kerjasama strategik antara Politeknik Metro Betong yang diwakili pengarahnya Suhaili Aleh dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya yang diwakili pegawainya ...

Uggah bergambar bersama pengarah Politeknik Metro Suhaili Aleh (kanan) dan para pegawai dari pelbagai kementerian dan agensi yang menandatangani perjanjian kerjasama strategik pada majlis itu.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah hari ini mencadangkan supaya replika kubu pertahanan hero nasionalis Iban, Rentap, dibina di Betong.

Beliau percaya ia boleh menjadi tarikan pelancong yang hebat berikutan terbilangnya nama Rentap yang turut dikenali dengan nama masyhurnya "Rentap Tanah, Runtuh Menua" di dalam memerangi rejim penjajah Rajah Putih di negeri ini.

Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban membuat cadangan itu semasa mesyuarat Majlis Penasihat Industri Politeknik Metro Betong dan majlis menandatangani perjanjian kerjasama strategik dengan jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan di sini.

Beliau berkata, pahlawan Iban itu telah membina kubunya di atas Bukit Sadok.

"Ini adalah strategi ketenteraan dan Rentap tahu ia akan menjadi sangat sukar bagi Rajah Charles Brooke untuk mengalahkannya di sana.

"Tentera Charles Brooke gagal menawan kubu itu pada bulan Jun, 1857 dan pada bulan Ogos, 1858 dan hanya pada percubaan ketiga pada bulan Oktober, 1861 Rentap dikalahkan apabila salah seorang hulubalangnya mengkhianati beliau," kata Uggah.

Rentap yang berundur ke daerah Pakan yang akhirnya meninggal pada 1870 kini menjadi legenda yang sangat dihormati di Sarawak, katanya.


"Saya akan bercakap dengan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan tentang bagaimana kita dapat melakukannya,"kata Uggah sambil menambah pelancongan adalah satu sektor yang berpotensi besar untuk dimaju dan dipromosikan oleh kerajaan negeri.

Bagaimanapun, untuk ke arah itu Sarawak memerlukan strategi yang berkesan, produk yang baik dan kemudahan sokongan serta pekerja yang sangat cekap.

Mengenai Politeknik Metro Betong Uggah berkata, ia satu lagi contoh komitmen kerajaan untuk memberikan pendidikan dan kemudahan yang baik kepada pelajar luar bandar.

"Kita perlu melatih mereka dengan baik supaya mereka dapat menghadapi cabaran masa depan dengan baik.

"Dengan pekerjaan dalam perkhidmatan awam dan sektor swasta menjadi semakin kurang, belia kita perlu meneroka bidang vokasional dan teknikal," katanya.

Sebelum itu Uggah menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara politeknik tersebut dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Hadir sama di majlis itu ialah pengarah Politeknik Metro, Suhaili Aleh dan pelbagai wakil kementerian dan agensi.

LihatTutupKomentar
Cancel