AirAsia terima Anugerah Khas Datuk Bandar

MIRI: AirAsia Bhd meraih Anugerah Khas Datuk Bandar pada majlis Anugerah Datuk Bandar Miri 2019 atas sumbangan pentingnya kepada aspek ekonomi dan sosial Miri serta penduduknya.

Syarikat penerbangan tambang rendah itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, ia mendapat pengiktirafan terutamanya atas komitmennya meningkatkan hubungan penerbangan domestik dan antarabangsa bagi Miri serta menyediakan peluang kepada masyarakat setempat untuk menggunakan perkhidmatan penerbangan.

AirAsia menghubungkan Miri ke Kuala Lumpur, Kuching, Kota Kinabalu dan Johor Bahru serta Singapura dengan 101 penerbangan ke dan dari Miri setiap minggu, yang membawa kepada peningkatan tiga kali ganda trafik penumpang di Lapangan Terbang Miri dalam tempoh 20 tahun lepas daripada 790,000 pada 1998 kepada 2.35 juta pada 2018.

Pada 2018, lebih 61 peratus daripada trafik penumpang di Lapangan Terbang Miri menggunakan perkhidmatan penerbangan AirAsia.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Riad Asmat berkata, syarikat penerbangan itu, sebagai penyokong visi Kemakmuran Bersama, berusaha membuka peluang kepada rakyat Malaysia untuk terbang dengan tambang rendah dan menyokong caj lapangan terbang yang adil.

“Kami juga berbesar hati kerana diiktiraf sebagai penyumbang kepada kemajuan landskap ekonomi dan sosial Miri. 

AirAsia adalah satu-satunya syarikat penerbangan yang menawarkan penerbangan antarabangsa terus ke Miri kerana kami percaya Miri berpotensi menjadi sebuah destinasi pelancongan dan perdagangan.

"Kami juga berharap dapat menghubungkan lebih ramai pengunjung ke Miri pada tahun-tahun akan datang yang bukan sahaja boleh mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan malah meningkatkan ekonomi negeri." katanya.

Pada 2018, AirAsia telah menerbangkan kira-kira 1.3 juta rakyat Malaysia ke dan dari Miri dan kira-kira 250,000 pengunjung dari negara lain.
LihatTutupKomentar
Cancel