Tumpik Piza No.1 Sarawak
TUMPIK sinonim sebagai makanan yang dipebuat daripada tepung sagu. Ia dianggap piza No. 1 Sarawak, kerana keenakan dan makanan tradisi masyarakat sejak dari dahulu lagi.
Tidak hairan ika tumpik pernah menjadi juadah utama bagi menggantikan ubi kayu dan beras ketika penduduk berdepan kesukaran pada zaman perang dunia kedua suatu ketika dahulu.
Piza Sarawak ini, dianggap makanan kesihatan kerana mengandungi karbohidrat, protein, serat, kalsium serta zat besi yang baik untuk kesihatan.
Malah ia mampu mencegah pelbagai penyakit termasuk saluran darah tersumbat, perut kembung dan kanser usus.
Di Bintangor, Sarawak usahawan tumpik Abang Saini Abang Bantin, 78, dan isterinya, Dayang Rahmah Abang Hashim, 68, dianggap pakar tumpik yang menjadi kegilaan seluruh masyarakat sekitar.
Bekas pemandu Jabatan Pertanian memulakan perniagaan tumpik pada 1996 ini bergelumang dalam perniagaan tumpik selama 21 tahun sentiasa menekankan kualiti dari segi rasa, keenakan dan sentuhan tersembunyi.
"Kita pada hari ini mungkin lebih kenal burger dan piza tetapi tidak tumpik.
Tumpik makanan tradisi semakin pupus dan lenyap begitu saja. Kalau kita kita mempertahan dan mempopularkannya, siapa lagi," katanya.
Gerai Abang Saini terletak di Jalan Teo Kin Ngo, bersebelahan pasar basah Bintangor.
Gerai tumpik dibukanya di tengah-tengah pasar Bintangor dibuka bermula jam 6 pagi hingga tengah hari.
Dia menyediakan sekurang-kurangnya 150 tumpik sehari bagi memenuhi keperluan pelanggan yang meningkat pada hujung minggu dan musim cuti persekolahan.
Dengan harga RM2.50 hingga RM4 sekeping, gerai tumpik Abang Saini bukan sahaja dikunjungi masyarakat Melayu dan Melanau malah, kaum Cina dan Iban juga amat menggemarinya.
Mengenai masakan katanya, ia hanya menggunakan kelapa parut dan tepung sagu dengan campuran itu kemudian dimasak antara 10 hingga 15 minit di atas kuali tembaga.
"Tumpik enak dimakan ketika masih panas dan rasanya lebih sedap jika dicelup bersama gula apong.
"Untuk sedikit kelainan, saya menyediakan tumpik istimewa dengan mengguna isi udang segar. Bagaimana pun, resepi asalnya tetap dikekalkan bagi menjamin keaslian rasanya.
"Juadah ini agak menjadi agak keras jika sejuk. Sebab itulah, ia enak dimakan ketika masih panas. Rasanya lebih sedap jika dicelup bersama gula apong. Namun, tidak lengkap tanpa kopi, teh atau milo panas. Pendek kata, sekali rasa memang nak lagi," katanya.