Anak didakwa bakar rumah, bom kereta bapa
KUCHING: Sikap keterlaluan mencederakan ahli keluarga mengundang padah kepada seorang remaja berusia 19 tahun.
Malah tindakan mencederakan adik menggunakan api menyebabkannya
dikenakan hukuman menjalani pemulihan akhlak di sekolah Henry Gurney sehingga berusia 21 tahun, semalam.
Remaja tersebut menjalani pemulihan akhlak setelah mengaku bersalah mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman maksima 20 tahun penjara serta sebatan.
Tertuduh mengaku membakar adiknya berusia 16 tahun dengan menggunakan api pada jam 8 malam di rumah mereka di Kampung Stenggang Bau pada 10 Ogos lalu.
Dalam pada masa yang sama, tertuduh juga mengaku bersalah menyebabkan kecederaan serius terhadap abang dan abang iparnya menggunakan api.
Hakim Mahkamah Seksyen Marutin Pagan menetapkan 15 Januari depan untuk mengenakan hukuman terhadap tertuduh.
Tertuduh mengaku terhadap dua pertuduhan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan serius terhadap abangnya berusia 26 tahun dan abang iparnya berumur 25 tahun serta Seksyen 435 Kanun yang sama kerana melakukan khianat terhadap kereta Perodua Viva QAK 6503 milik ayah mereka.
Tertuduh telah melakukan semua perbuatan itu pada jam 8 malam 10 Ogos lalu di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Stenggang Bau di sini.
Pada hari kejadian 10 Ogos lalu, jam kira-kira 2.02 pagi, kakak tertuduh berusia 22 tahun membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Bau bahawa pada jam 8 malam dia telah bergaduh dengan adiknya yang berusia 19 tahun.
Dalam pergaduhan itu, tertuduh (adiknya) menggugut akan membakar dan mengebom kereta bapa mereka, kemudian tertuduh lalu membaling sebotol minyak petrol kearah kereta itu.
Abang dan abang ipar tertuduh cuba hendak menghentikan perbuatan tertuduh juga terkena minyak petrol tersebut dan terus terbakar dan mengalami kecederaan.
Penyiasatan yang dilakukan anggota polis Bau juga menemui objek berupa bahan letupan bersama detonator dan peledak yang kemudiannya dirampas dan dimatikan oleh unit pemusnah bom dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen diketuai oleh Assistent Superuntenden Polis Abdul Faridz Abdul Bakar di tempat kejadian.
Tertuduh ditangkap pada 12 Ogos oleh pasukan polis daripada Ibu Pejabat Polis Bau dan melalui penyiasatan terperinci. tertuduh memang berniat menggugut keluarganya dan membakar rumah serta mengebom kereta bapanya.
Dia mendapat peralatan bom berkenaan daripada simpanan peninggalan pakciknya dan telah mengambil sebotol petrol daripada rumah ladang mereka untuk tujuan berkenaan.
Kes berkenaan dikendalikan oleh timbalan pendakwaraya Nadratun Naim Mohd Saidi serta Daniel Ilham Kamaruddin sementara tertuduh tidak diwakili peguam.