Bantuan sekolah RM140,000
KUCHING: Bank Rakyat menyumbangkan bantuan persekolahan Yayasan Bank Rakyat (YBR) berjumlah RM140,000 kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak bagi membantu seramai 1,400 pelajar di negeri ini kembali ke sekolah awal tahun hadapan.
Ketua Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani berkata, sumbangan sebanyak RM100 bagi setiap pelajar itu adalah sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 kerajaan dan Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam menyediakan pendidikan berkualiti.
"Sumbangan ini diharapkan sedikit sebanyak meringankan beban ibu bapa golongan B40 dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak apabila sesi (persekolahan) tahun 2020 bermula nanti," katanya ketika majlis penyerahan cek sumbangan terbabit kepada Penolong Pengarah Hal Ehwal Murid JPN Sarawak, Jaya Uki, di sini.
Nizam berkata, Bank Rakyat selepas ini akan berkerjasama dengan JPN Sarawak bagi mengenalpasti pelajar-pelajar di negeri ini yang layak menerima sumbangan itu kerana jabatan terbabit ada maklumat tentang pelajar berkenaan.
Beliau berkata, melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat terbabit juga, Bank Rakyat menerusi YBR menyumbangkan sejumlah RM1.47 juta kepada 14,700 orang pelajar yang terpilih di seluruh negara melalui Akaun Simpanan-i Nuri.
"Selain sumbangan ini, kita juga ada Program Jom Kembali Ke Sekolah untuk membantu hampir 400 pelajar di seluruh negara mendapatkan pakaian seragam sekolah, kasut, beg, stokin dan sebagainya," kata Nizam.
Katanya, program terbabit merupakan kerjasama Bank Rakyat dan Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) dan sudah dilancarkan di Melaka serta dijangka akan dilaksanakan di Sarawak 30 Disember depan.