Bekas YB Padungan dipenjara sehari, denda RM30,000
Panel tiga hakim mahkamah rayuan Dato Abdul Rahman Sebli, Datuk Kamardin Hashim dan Dato Mohamad Zabidin Mohd Diah sebulat suara mendapati Ng bersalah terhadap dakwaan menghina mahkamah membabitkan isu tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).
Ketika itu, Ng mewakili penduduk Kampung Haji Wahid di Bukit Kanada, Miri yang tanah NCR mereka diberi kepada anak syarikat Samling iaitu Pantai Bayu Indah Sdn Bhd pada 2017.
Dalam klip video yang menyabitkan Ng terbabit menghina mahkamah itu ialah beliau dilihat sedang memberi taklimat kepada anak guamnya di luar bilik mahkamah mengenai perkara yang berlaku di dalam kamar Hakim Lee Heng Chong dan berkenaan afidavit yang menyokong permohonan penarikan hakim.
Pada 6 Mac 2017, anak guamnya meminta kepada Ng untuk membuat permohonan melalui prosiding sivil supaya Hakim Mahkamah Tinggi Miri, Lee Heng Cheong menarik diri tetapi permohonan mereka akhirnya ditolak.
Keputusan Mahkamah Rayuan dikatakan sebagai faktor penentu kepada kerjaya politik Ng kerana sekiranya hukuman berkenaan dikekalkan, beliau tidak akan dapat bertanding dalam pilihan raya pada masa akan datang.
Hal ini kerana undang-undang kini menyatakan seseorang itu tidak akan dibenarkan bertanding dalam mana-mana pilihan raya sekiranya dia didenda melebihi RM2,000. Ng, bekas ketua PKR Sarawak dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Padungan, kali terakhir dilihat bertanding sebagai calon bebas pada Pilihan Raya Negeri 2011 di kerusi itu dengan menggunakan simbol Bunga Raya.