Jel tiga bulan curi kayu
KUCHING: Padah mencuri kayu di kawasan hutan simpan negara. Akibatnya lima lelaki warganegara Indonesia dipenjara tiga bulan dan denda 42,451.50 ataupun dua bulan penjara setiap seorang, semalam. Mereka menghadapi pertuduhan beerasingan menceroboh menceroboh, berada dan membina bangunan di dalam kawasan Taman Negara dan Hutan Simpan di Gunung Gading, Lundu.
Hakim Mahkamah Seksyen Marutin Pagan mengenakan hukuman terbabit terhadap Gilbertus Culo, Trisitrisno, Suheadi Uncang, Kri Santus dan Kenetsius Oktavianus setelah mereka mengaku terhadap kesemua kesalahan berkenaan.
Untuk kesalahan pertama setiap tertuduh dikenakan sebulan penjara kerana memasuki kawasan Taman Negara dan Hutan Simpan Gunung Gading secara haram tanpa kebenaran Penguasa pada jam 2.37 petang 11 Disember lalu.
Manakala, pertuduhan kedua, mereka di denda RM25,000 ataupun dua bulan penjara ditambah sebulan penjara lagi dan dikehendaki membayar kerajaan negeri 10 kali ganda nilai kayu yang di curi mengikut Seksyen 90(2) Akta Perhutanan 2015.
Mereka mengaku mengumpul lima batang kayu balak dan 40 keping kayu bergergaji tanpa lesen di kawasan Taman Negara berkenaan pada masa dan hari yang sama.
Bagi pertuduhan ketiga, kesemua tertuduh dipenjara sebulan setelah mengaku membina sebuah bangunan di kawasan berkenaan tanpa persetujuan penguasa Taman Negara dan Hutan Simpan mengikut Seksyen 26(1) Ordinan Taman Negara dan Hutan Simpan 1998.
Menurut fakta kes, pada 11 Disember 2019 jam kira-kira 2.37 petang sepasukan anggota dari Jabatan Hutan Sarawak telah melakukan serbuan di kawasan berkenaan dan berjaya menangkap kesemua tertuduh, turut dirampas ialah tiga buah gergaji rantai jenis Stihl model 038 dan sebuah motosikal jenis Modenas bernombor pendaftaran QAE3849.
Ke semua tertuduh meminta hukuman yang lebih ringan memandangkan perayaan hari Krismas menjelang tiba dan mereka risau keluarga mereka menanti kepulangan mereka masing-masing.