Bil air RM5, RM5,000 service line percuma
KUCHING: Kerajaan Sarawak prihatin dengan kesulitan yang dihadapi oleh rakyat dengan sekaligus melaksanakan beberapa program dan inisiatif untuk membantu mengurangkan beban kewangan rakyat, terutamanya mereka yang kurang kemampuan.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, sehubungan itu, kerajaan juga akan menanggung bil air sehingga nilai RM5 bersamaan dengan 11,300 liter air mulai 1 Januari 2020 yang dijangka akan menguntungkan 600,000 isi rumah di seluruh negeri.
”Seperti inisiatif SARES, Kerajaan Sarawak juga telah melaksanakan program SAWAS atau Sarawak Alternative Water Supply sebagai sistem alternatif yang membekalkan air bersih kepada rakyat di luar bandar yang tidak dapat dijangkau oleh sistem bekalan air utama,” katanya dalam perutusan Hari Krismas hari esok dan Tahun Baharu 2020.
Beliau berkata, kerajaan juga menanggung kos sehingga RM5,000 untuk menyambung service line bekalan elektrik ke rumah.
Menurutnya, jika kos penyambungan melebihi RM5,000 selebihnya akan diberi diskaun 70 peratus.
“Saya yakin inisiatif ini akan membolehkan lebih ramai rakyat yang kurang kemampuan untuk menikmati bekalan eletrik di rumah-rumah mereka.
“Bagi kawasan luar bandar yang tidak dapat didatangi oleh grid utama bekalan elektrik telah dilaksanakan program SARES, iaitu Sarawak Alternative Rural Electricity Supply dengan menggunakan tenaga solar yang telah memberi manfaat kepada banyak penempatan di kawasan luar bandar dan pedalaman Sarawak,” katanya.