Dadah bernilai RM210,600 dirampas di Miri
MIRI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKM) Sarawak menumpaskan sindiket penyeludupan dadah menggunakan perkhidmatan kurier selepas merampas merampas 9,915 biji pil Eramin 5 dan kira-kira 1,015 gram dadah pada Khamis.
Pengarah Kastam Sarawak Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata, rampasan itu dibuat di sebuah pusat cuci kereta di Jalan Acasia kira-kira jam 9.30 pagi Khamis.
Katanya, ia adalah hasil maklumat perisikan, satu bungkusan yang disyaki mengandungi dadah dihantar kepada penerima di satu lokasi di Miri oleh pekerja syarikat perkhidmatan kurier.
“Semasa serbuan seorang lelaki berumur dalam lingkungan 35 tahun telah ditahan bersama satu bungkusan yang disyaki mengandungi dadah yang baru diterima daripada serahan pekerja perkhidmatan kurier.
“Serbuan juga dilakukan ke atas sebuah rumah berhampiran premis cuci kereta berkenaan yang membawa kepada tangkapan seorang lagi lelaki iaitu pemilik premis tersebut disyaki terlibat dalam pembelian dan pengedaran dadah berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sharifah menambah, pemeriksaan bungkusan menjumpai sejumlah 9,915 biji pil Eramin 5 dan serbuk kristal yang disyaki dadah jenis ketamine lebih kurang 1,015 gram. Pengeledahan di dalam pejabat premis turut menjumpai 65 biji pil Eramin 5 dan lebih kurang 10 gram serbuk yang disyaki ketamine.
Anggaran nilai rampasan dadah tersebut ialah RM 210,600. Beliau menambah tangkapan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Katanya, peningkatan aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah di Sarawak berpunca daripada adanya permintaan yang tinggi di samping keuntungan yang sangat lumayan.
Beberapa lokasi telah dikenalpasti sebagai hub pengedaran dadah bagi seluruh negeri dikenal pasti iaitu di antaranya di Miri. Dadah yang dianggarkan bernilai RM210,600 dirampas di sebuah pusat cuci kereta di Miri.