Diarah rogol besar-besaran

CHINA: Amalan ‘rogol besar-besaran’ terhadap wanita etnik Uyghur di Xinjiang menjadi pendedahan terbaru mengenai penderaan dikenakan pihak berkuasa China terhadap etnik minoriti Islam itu dengan alasan untuk perpaduan etnik.
Bulan lalu, beberapa media Barat melaporkan lelaki China etnik Han diarah mengawasi rumah wanita Uyghur yang suami mereka ditahan pihak berkuasa.
Laporan rogol besar-besaran itu muncul selepas seorang pegawai kerajaan China memberi temuramah dengan Radio Free Asia mengesahkan wujudnya program dikenali sebagai ‘Dijodohkan dan Menjadi Keluarga.’
Menurut laporan news.com.au, lelaki etnik Han diarah tinggal dan tidur sekatil dengan wanita Uyghur melalui program itu yang menurut kerajaan China, bertujuan ‘mempromosikan perpaduan etnik.’
Namun, menurut aktivis Uyghur, Rushan Abbas, yang anggota keluarganya ditahan di Xinjiang sejak lebih setahun lalu, ia adalah rogol sistematik yang dilaksanakan kerajaan China bagi menghapuskan identiti etnik itu.
“Ia rogol besar-besaran. Kerajaan menawarkan wang, rumah dan pekerjaan kepada lelaki Han untuk datang dan ‘berkahwin’ dengan wanita Uyghur.
“Wanita Uyghur atau keluarga mereka tidak boleh menolak perkahwinan itu kerana jika menolak, akan dianggap sebagai pelampau Islam kerana enggan mengahwini ateis Han. Mereka tiada pilihan. 
“Sudah bertahun lelaki Han yang berselindung di sebalik perkahwinan itu, merogol wanita Uyghur. Ia hanya disedari media kira-kira setahun lalu,” katanya kepada news.com.au.
Bulan lalu, pegawai kerajaan China itu memberitahu Radio Free Asia, program berkenaan bagi ‘membantu keluarga Uyghur dengan ideologi, membawa idea baru, berbincang mengenai kehidupan bagi mewujudkan perasaan antara satu sama lain.’
“Biasanya seorang atau dua tidur sekatil tetapi jika cuaca sejuk, tiga orang tidur bersama. Sekarang dianggap normal jika wanita tidur bersama dengan ‘saudara lelaki’ pasangan mereka,” kata pegawai itu.
Menurutnya, mereka mendakwa wanita tidur satu meter jauhnya dari ‘saudara lelaki’ berkenaan yang sebenarnya adalah pegawai Parti Komunis serta tidak pernah mengambil kesempatan.
Namun, menurut Rushan, semua itu adalah pembohongan kerana ramai wanita Uyghur hamil.
Kekerasan dan kekejaman terhadap etnik Uyghur sudah berlaku sejak berdekad lalu, namun ia memuncak mendadak ketika pemerintahan Xi Jinping.
Kerajaan Xi berusaha membanteras amalan agama di China dan Islam menjadi sasaran utama. Apa yang berlaku terhadap etnik Uyghur di Xinjiang ialah kerana Islamofobia. - HARIAN METRO
LihatTutupKomentar
Cancel