Dua warga Indonesia diculik diselamatkan
SABAH: Dua lelaki warga Indonesia yang diculik di perairan Lahad Datu September lalu diselamatkan pasukan keselamatan Filipina dalam satu operasi ketenteraan di Sulu, selatan negara itu awal pagi semalam.
Kedua-dua mereka ditemui selamat selepas pertempuran di antara tentera Filipina dan kumpulan penculik dipercayai didalangi Abu Sayyaf.
Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Datuk Hazani Ghazali mengesahkan dua mangsa terbabit, Maharudin Lunani, 48, dan Samiun Maneu, 27, diselamatkan di Barangay Pugad Manaul, Panamo, Sulu.
Katanya, nasib seorang lagi mangsa, Muhammad Farhan, 27, yang turut dilarikan dalam insiden penculikan September lalu bagaimanapun belum diketahui setakat ini.
“Kedua-dua mangsa di bawah jagaan pasukan keselamatan Filipina dan kita berhubung dengan mereka untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan mereka termasuk seorang lagi yang gagal dikesan,” katanya dipetik Harian Metro semalam.Pada 23 September lalu, tiga nelayan warga Indonesia dilaporkan diculik di perairan Lahad Datu berhampiran sempadan selatan Filipina jam 11.50 pagi.
Ketiga-tiga mangsa dipercayai diculik tujuh lelaki bersenjata sebelum melarikan diri ke arah perairan Pulau Tawi-Tawi di selatan Filipina.