Gaji minimum penjawat awam RM1,800 menjelang 2022

SHAH ALAM:  – Gaji minimum bagi penjawat awam sekurang-kurangnya RM1,800 antara fokus utama Adnan Mat sebaik sahaja dilantik sebagai Presiden baharu Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).

Menurut Adnan, walaupun perkara itu pernah dibangkitkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini, namun beliau sendiri akan memastikan pelaksanaan gaji minimum penjawat awam itu dapat direalisasikan menjelang 2022.

“Ya ini adalah perkara-perkara asas yang kita buat iaitu susulan dan buat cadangan serta kajian. Itu misi kita. Keutamaan kita sebenarnya iaitu Big Data.

“Kalau kita bincangkan sesuatu, kita kena membincangkan apakah rumusan…apakah kajian yang telah pun kita buat, ini cabaran. Kita nak rumus benda itu biar tepat untuk pertimbangan kerajaan.

“Kita kena bersekali setiap perkara supaya ianya lebih berkesan dan komprehensif untuk dibentangkan serta pertimbangan daripada Perdana Menteri,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Presiden CUEPACS yang baru, Adnan Mat Dalam. Dalam pada itu, Adnan menjelaskan bahawa gaji minimum yang dicadangkan itu bukan perkara baharu bahkah pihaknya telah menjalankan kajian mengenainya sejak lima tahun lepas“CUEPACS mencadangkan gaji minimum kepada RM1,800 kenapa kita cadang begitu sebab kajian kita menunjukkan keperluan seorang rakyat perlukan wang dengan gaji minimum RM2,700 ini, kajian Bank Negara Malaysia (BNM).

“Kajian kami sendiri minimum RM2,600 manakala kajian yang dibuat oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) minimum RM2680. Tiga kajian yang dibuat oleh tiga pihak ini menunjukan gaji minimum itu hendaklah tidak kurang daripada RM2,600.

“Pada hari ini gaji minimum kami adalah RM1,800 termasuk elaun cola (sara hidup), elaun tetap perumahan dan elaun perkhidmatan awam menjadikan lebih kurang RM1,900 maknanya kita masih ada kekurangan RM700,” katanya.

Berdasarkan tiga kajian itu, CUEPACS katanya ingin mencadangkan kepada kerajaan supaya gaji minimum ini dinilai semula dan ditetapkan kepada RM1,800.

“Apabila gaji minimum ini dicampur dengan elaun-elaun lain, gaji penjawat awam boleh sampai kepada sasaran kepada kajian yang telah kami buat, iaitu tidak kurang RM2,600,” katanya.

Katanya, kadar baharu gaji minimum itu berdasarkan kepada beberapa aspek, antaranya keperluan rumah, nilai harga rumah mampu milik dan kadar potongan bulanan.

“Sekarang ini purata (gaji minimum tanpa elaun) sudah RM1,200, untuk beli rumah minimum RM1,200 sebulan potongan selama 30 tahun.

“Kalau gaji minimum kita pun sudah RM1,200 sudah pun tidak mencukupi dicampur lagi dengan keperluan pelajaran, pengangkutan, keperluan asas makan minum di rumah dan utiliti yang lain.

“Keseluruhan keperluan ini yang menjurus kepada minimum RM1,200 itu pun tidak termasuk simpanan,” katanya.

Tambahnya, keperluan gaji minimum baharu itu sangat mendesak bahkan dapat mengurangkan masalah tekanan kos sara hidup di samping membentuk generasi yang lebih baik pada masa depan.

“Gaji minimum ini boleh mewujudkan keluarga lebih bahagia dan memberi kesan kepada masyarakat yang lebih harmoni, tidak tertekan dan semua orang berada dalam keadaan yang selesa,” katanya lagi.
LihatTutupKomentar
Cancel