Najib buat sumpah laknat Jumaat iniLim Kit Siang bangkit persoalan
KUALA LUMPUR – Lim Kit Siang membangkitkan persoalan sumpah laknat siapakah yang ‘menang’ jika Azilah Hadri turut berbuat demikian bagi mengesahkan kesahihan akuan bersumpahnya bahawa beliau diarah oleh Datuk Seri Najib Razak untuk membunuh Altantuya Shaariibuu.
Soalan veteran DAP itu rentetan daripada kenyataan Najib semalam bahawa beliau akan mengangkat sumpah laknat esok di Masjid Kampung Baru bagi menafikan pengakuan Azilah.
Kit Siang turut merujuk kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hanipa Maidin yang mencadangkan supaya Najib mengambil tindakan mahkamah untuk menepis tuduhan Azilah kerana bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) itu boleh disoal oleh peguam Najib.
Hanipa berkata, sumpah laknat yang akan dibuat Najib esok mempunyai nilai perundangan yang sedikit.
Kit Siang berkata, begitu juga dengan kontroversi sama ada Azila dibawa keluar dari penjara untuk bertemu VVIP yang tidak boleh dibuktikan menerusi sumpah laknat sebaliknya memerlukan siasatan rapi dan telus.
Veteran DAP juga menafikan laporan media bahawa beliau mencabar Najib untuk melakukan sumpah laknat bagi isu berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu, beliau hanya terfikir adakah Najib mahu membuat langkah sama setelah ingin melakukan sumpah laknat bagi menafikan tuduhan yang dikaitkan kepadanya berhubung kes pembunuhan Altantuy.
Menurut beliau, sebagai bukan Islam, dirinya tidak akan mengeluarkan cabaran sedemikian. Sementara itu, Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan melakukan sumpah laknat menafikan dakwaaan yang terkandung di dalam Akuan Bersumpah Azilah Hadri Jumaat ini.Dalam hantaran terbaharu di laman Facebook, Najib memberitahu, sumpah laknat itu akan dibuat di Masjid Jamek Kampung Baru di sini sejurus selepas solat Jumaat.
“Bismillahirrahmanirrahim “Assalamualaikum warrahmatullahi wabarakatuh. “Saya berhasrat melakukan sumpah laknat menafikan dakwaan yang terkandung dalam Akuan Bersumpah yang dikeluarkan Azilah Hadri.
“Sumpah laknat ini akan saya buat di Masjid Jamek Kampung Baru di ibu negara sejurus selepas Solat Jumaat minggu ini,” katanya.
Kelmarin, akuan bersumpah Azilah yang merupakan bekas anggota pasukan Unit Tindakan Khas (UTK) dan sedang menanti hukuman gantung didedahkan berhubung pembunuhan kes berprofil tinggi membabitkan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Dokumen yang disertakan dalam permohonan semakan kehakiman Azilah pada 17 Oktober lepas juga mendakwa dirinya serta anggota polis Sirul Azhar Umar hanya mengikuti arahan ‘shoot to kill’ atau tembak mati.
Azilah mendakwa Najib mengarahkannya menangkap serta ‘menghapuskan’ Altantuya yang dilabel sebagai perisik asing dan berbahaya kepada keselamatan negara. - Malaysia Gazette