Jangan bergantung ihsan Guan Eng
KUCHING: Kerajaan Persekutuan diharap agar memperuntukkan belanjawan persekutuan kepada Sabah dan Sarawak secara dasar perlembagaan, dan bukannya kedua-dua negeri tersebut hanya bergantung kepada “ihsan” daripada Menteri Kewangan pada setiap tahun.
Ketua Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Michael Tiang berkata jika pemimpin Persekutuan benar-benar ikhlas untuk mempunyai status rakan kongsi yang sama rata kepada Sabah dan Sarawak, justeru pindaan terhadap perlembagaan perlu diadakan bagi mencerminkan kelayakan Sabah dan Sarawak untuk turut mendapat peruntukan dalam belanjawan persekutuan.
Memetik laporan daripada FMT, Tiang mendesak pemimpin-pemimpin Persekutuan untuk menerangkan aspek “status rakan kongsi yang sama rata” sekiranya Kerajaan Pusat mahu berlaku adil terhadap Sabah dan Sarawak dari segi belanjawan. Dalam pada itu, beliau turut mempersoal, adakah Putrajaya akan memperuntukkan perbelanjaan pembangunan yang adil untuk kedua-dua negeri ini?
Selain itu, tambah beliau, jawatankuasa pemandu yang sedang mengkaji semula Perjanjian Malaysia 1963 tidak pernah membincangkan akan bagaimana Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda.