Limbang bakal jadi pengeluar Musang King
LIMBANG: Program Agriculture Facilitation Fund (AFF) atau dana pemudah cara pertanian di bawah Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak merupakan dana baharu yang diperkenalkan Kerajaan Sarawak bagi membantu meningkatkan industri pertanian di negeri ini.
Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Hj Abdul Rahman Ismail berkata Program AFF ini baru bermula pada tahun 2019 dan ia akan diteruskan pada tahun 2020 dan seterusnya dalam Rancangan Malaysia Ke 12 (RMK12).
“Pada tahun depan, dalam Bajet 2020 yang diumumkan Ketua Menteri peruntukkan sektor pertanian bertambah lebih kurang 69 peratus.
“Pada tahun ini bajet yang diperuntukkan adalah sebanyak RM300 juta dan dalam Bajet 2020 peruntukkannya meningkat kepada RM797 juta seperti yang diumumkan Ketua Menteri dalam Dewan Undangan Negeri baru-baru ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penyerahan Bantuan Pertanian di bawah Program Agriculture Facilitation Fund (AFF anjuran Jabatan Pertanian Daerah Limbang yang diadakan Dewan Batu Biah Limbang pada Jumaat.
Pada majlis itu, seramai 270 orang menerima benih pokok durian Musang King bagi fasa pertama dengan jumlah keseluruhannya sebanyak 4,050 benih Musang King dan setiap keluarga menerima 15 pohon benih durian Musang King.
Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota menambah, pada tahun ini kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kota dan Batu Danau telah mendapat peruntukan khas bagi melaksanakan Program AFF ini.
“Di Limbang, kita menumpukan kepada beberapa projek baru seperti penanaman durian benih baru Musang King, nanas, pisang, kelapa pandan dan sebagainya,” tambahnya.
Dalam pada itu, Daerah Limbang dijangka akan menjadi pengeluar durian Musang King bagi tempoh 5 tahun akan datang apabila benih pokok durian Musang King bertambah dari 60,000 pokok durian menjadi 90,000 pokok.