Mahkamah benar bongkah konkrit sekat jalan ke Rumah Jalak dialih
SIBU: Mahkamah Sesyen hari ini membenarkan salah satu sekatan bongkah konkrit menuju ke Rumah Jalak Kusau di Tanjung Penasu, Batang Igan dialihkan sementara.
Hakim Caroline Bee Majanil membenarkan salah satu jalan itu digunakan oleh penduduk sementara menunggu keputusan berhubung permohonan mengetepikan sekatan jalan itu pada 12 Febuari 2020.
Terdahulu pihak plaintif iaitu T.N. Enterprise Sdn Bhd dan defendan iaitu Tuai Rumah Jalak Kusau mencapai kata sepakat berhubung sekatan jalan itu.
Plaintif diwakili peguam Esther Wong dan Lau Kho Peng dari firma Stephen Robert & Wong Advocates sementara defendan diwakili oleh Wee Wui Kiat dan Christine Lim dari Battenberg & Talma Advocates.
Menurut Wong, pihak plaintif mencapai kata sepakat dengan pihak defendan untuk mengetepikan sementara perintah mahkamah yang dibuat 10 Oktober lepas.
Sehubungan itu katanya, pihak defenden dan penduduk rumah panjang hanya dibenarkan melalui salah satu jalan iaitu yang menuju ke Rumah Jalak sementara jalan menuju ke Rumah Nita Seman masih ditutup.
Penduduk rumah panjang menurut Wong, juga dilarang menanam tanaman atau membina bangunan di tepi jalan di atas tanah milik plaintif.
Sementara Wee memberitahu, pihak defendan akan mengalihkan bongkah konkrit yang menghalang jalan itu ke tepi pada hari ini.
Pihak defendan telah mengemukakan permohonan pada Isnin lepas bagi mengenepikan perintah mahkamah 10 Oktober lepas yang membawa kepada sekatan jalan itu oleh pemilik tanah.
"Kita perlu mengenepikan terlebih dahulu perintah mahkamah itu dan buat masa ini, kedua-dua pihak bersetuju dengan perubahan yang telah dibuat," ujar Wee dipetik Utusan Borneo.
Pada 3 Disember lepas, lebih kurang 300 penduduk dari Rumah Jalak dan Rumah Nita terjejas selepas jalan menuju ke rumah panjang terbabit disekat dengan bongkah konkrit.