Otai PSB Ranum, Dr Tiki sedia cabar
KUCHING: Ahli politik veteran Datuk Ranum Mina dan Datuk Dr Tiki Lafe sah berrtanding mewakili Parti Sarawak Bersatu (PSB) pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12). Kedua-dua ahli politik tersebut akan bertanding di kerusi DUN Opar serta Tasik Biru.
Ranum merupakan penyandang DUN Opar yang sebelum ini di bawah tiket UPP manakala Dr Tiki merupakan bekas Ahli Parlimen Mas Gading tiga penggal serta bekas Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
Presiden PSB Dato Sri Wong Soon Koh berkata, rakyat Sarawak tanpa mengira bangsa dan agama kekal bersatu dan bersama membentuk sebuah kerajaan baharu yang bersih, adil, telus dan saksama.
Adun Bawang Assan itu berkata, PSB komited memupuk semangat perpaduan dan bertoleransi demi menjaga hak Sarawak yang semakin terpinggir dan tidak mengikut garis panduan semasa pembentukan Malaysia di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau berkata demikian pada pada Majlis Pelancaran PSB Bahagian Opar yang turut dihadiri kira-kira 1,000 penyokong di sebuah dewan di Kampung Bagak, Lundu semalam.
Setakat ini, PSB mempunyai 36 cawangan di seluruh Sarawak dan telah diluluskan pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).