Pusat durian beroperasi 29 Januari 2020
KUCHING: Pusat Pengutipan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPCC) Durian di Tarat dijadual beroperasi sepenuhnya 29 Januari tahun depan.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah berkata, kemudahan seperti ini pernah digunakan unatuk pemprosesan lada.
“Pusat itu milik Jabatan Pertanian dan pihak kami telah membelanjakan RM5.6 juta untuk mengubahsuai dan memperbaikinya,” katanya.
Pusat tersebut yang akan diambil alih oleh firma pengeksport buah tempatan, ToP Fruit Sarawak Sdn Bhd, akan digunakan untuk menghasilkan cebisan isi dan pes Durian yang akan dieksport ke China.
“Kemudahan di pusat ini memenuhi kriteria HACCP, GMP dan pensijilan keselamatan makanan MeSTI.
“Sebuah pusat yang sama sedang dibangunkan di Simpang Layar, Betong,” tambah Uggah.
Menjelang 2020, Sarawak sasar peningkatan eksport Durian hingga 200 tan berbanding 100 tan untuk tahun 2019.