Rawther lapor polis, serah akuan bersumpah dakwa dicabul Anwar
KUALA LUMPUR: Muhammad Yusoff Rawther hari ini membuat laporan polis dan menyerahkan akuan bersumpah (SD) yang mendakwa dia dicabul oleh bekas majikannya Anwar Ibrahim.
Laporan itu dibuat di balai polis Sentul, Kuala Lumpur lewat pagi tadi.
Menurut Muhammad Yusoff, laporan itu dibuat supaya polis menyiasat dakwaannya, selain bagi mengambil tindakan undang-undang.
"Saya juga membuat laporan polis kerana keselamatan diri saya mula terancam oleh pihak tertentu sebaik sahaja satu sidang media yang telah diadakan berkenaan,” katanya.
Yusoff, 26, bekas pegawai penyelidik Anwar pada Rabu lalu membuat SD yang antaranya mendakwa dicabul presiden PKR di Petaling Jaya, pada 2 Oktober lalu.
Anwar menafikan perkara itu dan berkata beliau pada tarikh berkenaan sedang sibuk berkempen sempena pilihan raya kecil Port Dickson yang ditandinginya.
Anwar juga berkata beliau menghadiri majlis memperingati ulang tahun kelahiran Mahatma Gandhi ke-150 di Kuala Lumpur dan kembali semula ke Port Dickson untuk memenuhi jadual kempen.
Sementara itu, Ketua Polis Sentul S Shanmugamoorthy ketika dihubungi mengesahkan laporan polis itu.
“Ya, saya boleh sahkan dia buat laporan polis, yang menyebut dia mahu polis siasat akuan berkanunnya,” kata pegawai itu.
Shanmugamoorthy juga berkata kes itu dikendalikan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Bukit Aman. - MalaysiaKini