Rupanya bangkai kapal lama hanyut…

KUCHING: Misterui bangkai kapal yang ditemui di Perairan Santubong berhampiran Pulau Satang, pada 14 Disember lalu, dipercayai kapal nelayan yang sudah lama karam.

Bangkai kapal berkenaan ditemui sekumpulan pemancing yang menaiki bot ‘Nemo Fishing’ pada tengah hari, 14 Disember lalu.

Kumpulan pemancing itu sempat merakam gambar serta video penemuan itu sebelum melaporkannya kepada Maritim Malaysia pada jam 7.40 malam hari yang sama.

Kapal itu berkemungkinan karam di lokasi lain dan dibawa arus deras Laut China Selatan hingga ke lokasinya ditemui berhampiran pulau berkenaan.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sarawak, Laksamana Pertama Robert Teh Geok Chuan, berkata kejadian seumpama itu boleh berlaku apabila arus terlalu deras ketika musim Monsun Timur Laut.

“Lokasi penemuan bangkai kapal itu memang berarus deras. Ini menguatkan lagi keyakinan bahawa ia kapal lama yang dibawa arus di dasar laut.

“Jika kapal itu baru karam, sudah tentu ada pihak tampil menuntutnya,” katanya dipetik dalam akhbar Berita Harian.

Geok Chuan berkata, sehingga kini, pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung kapal atau bot nelayan karam di perairan negeri ini, namun usaha terus dijalankan untuk mengenalpasti pemilik kapal itu.
LihatTutupKomentar
Cancel