Saya hanya berhijrah… bukan ditolak
KUCHING: Saya hanya menyatakan bahawa saya berhijrah keluar dari negeri Sarawak dan berpindah sekolah untuk menimba lebih ilmu dalam sukan Muaythai.
Demikian kata, peninju Muaythai Mohd Rifdean Masdor mengulas laporan sebuah akhbar tempatan hari ini.
Beliau memohon maaf, kepada semua rakyat Sarawak serta semua persatuan dan komuniti Muaythai Sarawak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung menerusi laporan akhbar berkenaan.
“Saya, Mohd Rifdean dengan ini memohon maaf di atas tajuk di akhbar ini yang menyatakan saya ditolak oleh Sarawak. Saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan ini semasa ditemuramah.
”Itu sahaja. Saya memohon maaf kepada semua rakyat Sarawak serta semua persatuan dan komuniti Muaythai Sarawak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung di atas tajuk dan isi berita ini,” katanya.
Mohammad Rifdean Masdor memastikan skuad muay thai negara mencapai sasaran satu pingat emas pada temasya Sukan SEA 2019 selepas memenangi acara final 45 kilogram (kg) di Subic.
Rifdean, 17, cemerlang apabila mengetepikan peserta pilihan dari Laos, Soulixay Singsavath menerusi keputusan knock-out ketika mata perlawanan berada pada kedudukan 10-9.