Seludup sarang burung RM2 juta ke Hong Kong

KUCHING: Cubaan seludup keluar sarang burung bernilai  RM2.108 juta ke Hong Kong melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) gagal.
Hasil kolaborasi pasukan Kastam dari Cawangan Operasi Darat Ibu Pejabat Kuching dan Unit Khas Pemeriksaaan Penumpang, Kuching telah menahan lapan kotak konsaimen di Pusat 'Outbound Loading Bay' Kargo LTAK pada malam Jumaat lalu. 
Pemeriksaan lanjut dilakukan melalui mesin pengimbas ke atas lapan bagasi penumpang terbabit melalui penerbangan menuju ke Kuala Lumpur dan transit menuju ke Hong Kong.
Modus operandi sindiket, sarang burung berkualiti tinggi diseludup keluar melalui LTAK menuju ke KLIA, dan seterusnya ke Hong Kong untuk pasaran luar negara. 
Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) Sarawak  Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata,  berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar sarang burung yang telah diproses menerusi LTAK pada 27 Disember sekitar jam 11.40 malam bertindak atas satu maklumat.
"Hasil pemeriksaan ke atas bagasi penumpang, pasukan menjumpai lapan karton bersamaan dengan 210.86 kilogram sarang burung yang telah diproses. 
"Siasatan lanjut mendapati barangan tersebut tidak mempunyai dokumen Borang Kastam 2 (K2), permit Jabatan Veterinar Sarawak dan surat levi daripada Jabatan Perhutanan (Perlindungan Hidupan Liar)," katanya dalam kenyataan.
Beliau menegaskan, kesemua barangan tersebut disita untuk siasatan lanjut, yang mana nilai rampasan barangan berkenaan  erjumlah RM 2.108 Juta.
"Dagangan diangkut menggunakan bagasi penumpang melalui mod udara bagi mengelirukan pihak berkuasa untuk tujuan mengelak ikrar Borang Kastam 2 
(K2), permit eksport dan bayaran levi yang tinggi.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967, jika sabit kesalahan, pesalah akan didenda tidak kurang dari 10 kali ganda amaun duti Kastam atau RM100,000 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai amaun duti Kastam atau RM500,000 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar, ataupun penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali," katanya.
LihatTutupKomentar
Cancel