Tabung pendidikan Bukit Saban diwujudkan
KUCHING: Tabung pendidikan Bukit Saban akan diwujudkan mulai tahun depan untuk pelajar terpilih yang akan melanjutkan pelajaran ke insitusi pengajian tinggi.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah berkata, tabung berkenaan penting supaya pelajar mendapat pendidikan yang baik sekali gus mendapat pekerjaan dan memperbaiki taraf kehidupan kepada yang lebih baik.
Katanya, pelajar ini dapat memainkan peranan masing-masing untuk membantu di dalam pembangunan Bahagian Betong agar berkembang dan kemajuan semakin menonjol.
Menurutnya, dana bagi tabung pendidikan tersebut akan disumbangkan oleh beliau dan Ahli Parlimen Betong, Datuk Robert Lawson Chuat.
"Chuat dan saya sendiri mahu melihat pelajar dari Bukit Saban dapat bersaing dengan orang lain dan mahukan mereka mempunyai peluang pendidikan yang baik," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Krismas dan Tahun Baru anjuran Belia Bukit Saban di sini malam Sabtu.